Ulasan Ini Dikarang Bagi Peraduan Ulas Buku ITBM
Di Blog /
Facebook
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012
Oleh : Marini Binti Azahri
Emel : marini.azahri@gmail.com / srikandi_jilbab@yahoo.com
Oleh : Marini Binti Azahri
Emel : marini.azahri@gmail.com / srikandi_jilbab@yahoo.com
Tajuk Buku : Bijak Si Katak Bijak
ISBN : 978-983-068-878-7
ISBN : 978-983-068-878-7
No Resit : ITNM000965
*****
“Katak bijak? Hmm,
biasanya dalam cerita-cerita rakyat melayu, Sang Kancillah yang sering digelar
bijak tetapi kali ini katak pula,” demikian desis hati saya tatkala mata
digamit sebuah buku putih bersih, di kulit hadapannya dilukis seekor katak
hijau, dan pada bahagian atasnya tertera tajuk “Bijak Si Katak Bijak.”Sesiapa yang melihat
buku yang comel itu tentu dapat mengagak bahawa buku itu adalah buku untuk
kanak-kanak. Terpamer cantik di rak utama gerai Institut Terjemahan dan Buku
Malaysia atau singkatannya ITBM, saya pasti ia terbitan terbaru ITBM bagi Pesta
Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tahun ini.
Langkah saya terhenti
di hadapan gerai ITBM. Nampaknya hasrat hendak ke gerai buku lain terpaksa
dibatalkan kerana Bijak Si Katak Bijak yang ternampak dari
jauh itu pula terlebih dahulu mencuri perhatian. Tiba-tiba mata saya menangkap
nama pengarangnya yang tertulis elok di atas tajuk buku tersebut.
Siti Zainon Ismail!
Wah, siapa yang tidak
teruja melihat nama yang terkenal dalam dunia sastera itu? Siti Zainon Ismail
adalah penulis, penyair, dan pelukis yang tidak perlu dipertikaikan lagi
kehebatan bakatnya. Pastinya sasterawan yang sering menggondol pelbagai
anugerah sastera ini punya sebab tersendiri mengapa tiba-tiba sahaja
memilih katak, binatang yang jelik dan menggelikan sebagai simbol kebijaksanaan
dalam buku tersebut.
Sang Kancil yang bijak
terus lenyap dari minda dan tanpa lengah, saya bergegas ke arah Bijak
Si Katak Bijak. Seorang petugas yang ada di situ bagaikan sudah lama
bersedia menanti kedatangan saya, kerana sebaik sahaja saya mencapai Bijak
Si Katak Bijak, petugas itu terus berkata, “Ini buku puisi bergambar untuk
kanak-kanak, puan. Karya terbaru Siti Zainon Ismail. Baru terbit tahun ini,
cetakan pertama 2012!”
Ya, memang saya sudah
lama berminat mengumpul buku puisi kanak-kanak bagi dijadikan bahan bacaan dan
rujukan. Selepas terpesona dengan Rindu Ibu daripada A.Samad Said, saya berniat
mahu berjinak dengan karya-karya hebat Siti Zainon Ismail pula dan hari ini,
tuhan bagaikan mengabulkan permintaan saya dengan munculnya Bijak Si
Katak Bijak!
Saya belek teliti buku
itu. Saiznya selesa dipegang dan tebalnya 107 halaman. Konsep kulit bukunya
menepati kategori sasaran pembaca. Di bawah tajuk Bijak Si Katak Bijak,
dilukis seekor katak hijau yang comel, ada dua kuntum bunga di atas kepalanya,
dan sedang tersenyum manis pula. Oh, jika gambar katak betul diletakkan di
situ, bukan sahaja saya tidak akan tertarik, malah geli pula hendak
memegangnya. Saya ini, jika sudah geli kepada binatang, jangankan memegang,
memandangnya sahaja saya sudah rasa geli-geleman.
Saya amati kulit
belakangnya pula. Nombor ISBN 978-983-068-878-7 dan apabila melihat harganya,
saya tersenyum. Tiga puluh ringgit, masih di bawah harga mampu milik. Apatah
lagi dengan diskaun sebanyak dua puluh peratus, lebih-lebih lagi ia mampu
dimiliki.
Pulang dari Pesta
Buku, saya singgah di Meals Station KL Sentral. Bertemankan secawan cham
kegemaran, tanpa rasa geli saya bedahBijak Si Katak Bijak satu-persatu.
Aduhai, ternyata Bijak
Si Katak Bijak adalah sebuah buku puisi kanak-kanak yang memikat,
dengan empat bab puisi yang menyeronokkan iaitu Mari Belajar, Kerja
Harian, Mari Gendang, danCerita Rakyat. Uniknya buku ini
berbanding dengan buku puisi kanak-kanak yang pernah saya baca adalah kerana
persembahannya. Di setiap mukasurat kanan buku ditulis rangkap-rangkap puisi,
manakala di setiap mukasurat kiri pula dilukis gambar katak bersama puisi yang
sama dengan tulisan jawi. Tambah memikat, semua katak dalam buku ini dilukis
persis gaya orang melayu; memakai baju kurung, sarung, songkok, malah ada yang
menari piring dan belajar silat juga!
Lompat si katak lompat
siapa cepat dia dapat
lompat si katak lompat
mari cepat belajar
silat
Demikian berwawasannya
puisi pertama yang menyambut saya. Tajuknya Lompat Si Katak Lompat,
dalam bab Mari Belajar. Lukisan katak yang penuh seni di sebelah
kiri mukasuratnya pula begitu patriotik, kerana ia sedang menjulang bendera
Malaysia!
Melalui puisi pertama
ini, dapat dikesan hasrat pengarang yang mahu mendidik generasi muda agar
mempelajari silat dan menghayati falsafah di sebalik warisan unggul bangsa
melayu ini. Idea pengarang menyertakan puisi dalam tulisan jawi pula adalah
satu usaha yang patut dipuji. Kanak-kanak yang didedahkan awal dengan tulisan
jawi, pastinya lebih menghargai khazanah bangsa yang sememangnya perlu
dimartabatkan dan diwariskan kepada generasi-generasi seterusnya ini.Karakter katak-katak
dalam buku puisi ini digambarkan dengan penuh sopan dan beradab. Mereka
dipotretkan sebagai sebuah komuniti yang bertamadun, beradab, dan bijaksana.
Sudah tentu, kerana tajuk bukunya adalah Bijak Si Katak Bijak.
Persoalannya, mengapa katak, makhluk pasif yang terkenal dengan bidalan “seperti
katak di bawah tempurung” itu menjadi pilihan dan di mana bijaknya katak
pada pandangan pengarangnya?
Kata Siti Zainon
melalui sinopsis buku ini, walaupun bidalan lama “katak di bawah tempurung”
menggambarkan katak adalah binatang yang pasif, namun beliau terfikir katak
sebenarnya adalah bijak. Beliau berpegang kepada pesan neneknya, “Katak itu
banyak tempurung. Ia tidak tinggal lama di dalam satu tempurung, hanya sembunyi
daripada musuh atau berlindung daripada hujan, siang dia melompat lagi.
Berteduh lagi dengan mencari tempurung untuk berlindung.”Pandangan beliau itu
juga disampaikan dengan jelas melalui puisi bertajuk Rumah Katak,
dalam bab Mari Belajar pada halaman 25. Begini bunyinya :
Hujan lebat sekali
katak sembunyi di
bawah tempurung
itulah rumah katak
rumah tempurung yang
banyak
Lepas hujan katak
melompat
jalan dan lompat cari
makan
kalau hujan lagi
katak sembunyi di
bawah tempurung
untuk berlindung
banyak rumah katak
akalnya bijak.
Begitu halus dan
seninya pandangan hati Siti Zainon, sehinggakan sehabis saya membaca semua
puisi dalam buku ini, persepsi saya turut mengakui bahawa ya, memang katak
binatang yang bijak!Buku Bijak Si
Katak Bijak ini berakhir dengan penuh hikmah, melalui puisi yang
sangat menyentuh hati berjudul Tanggang Menjadi Batu dari bab Cerita
Rakyat. Inilah petikan puisinya :
Ibu tua sedih dan
kecewa
Tanggang lupa kasih
bonda
hanya kepada Yang Maha
Kuasa
ibu mengadu pilu
“Kalau betul Tanggang
anakku
tunjukkan kuasaMu Ya
Ilahi!
aku ibu yang papa
anakku malu dia lupa
setelah kaya.”
Tiba-tiba awan hitam
bergulung
guruh sabung menyabung
bahtera pecah
dilambung badai
Tanggang disumpah ibu
menjadi batu dan kaku.
Ternyata Siti Zainon
juga bijak menyusun puisi-puisinya, sehingga sebelum buku ini ditutup,
kanak-kanak yang membacanya sempat diingatkan bahawa dalam mencari hakikat
kebahagiaan hidup, redha ibu bapalah yang paling penting kerana derhaka anak
kepada ibu bapa samalah dengan derhaka hamba kepada tuhannya.Pulang ke rumah, saya
hulurkan Bijak Si Katak Bijak kepada Khairunnisa, anak saudara
saya yang masih belajar di tahun satu. Sambil membelek buku itu, Khairunnisa
ketawa sendirian. Apabila ditanya mengapa, jawabnya, “Lucu, katak pun pandai
membaca, ya?” sambil dia menunjukkan gambar seekor katak yang sedang membaca
buku. Di sebelah lukisan katak itu ada rangkap puisi bertajuk Mari
Membaca.Saya membalas, “Jadi,
Nisa pun mestilah rajin belajar membaca. Jika tidak pandai membaca, nanti katak
itu pula yang lebih pandai daripada Nisa.”
"Eh, tidak
mahulah begitu, kita pula lebih bodoh daripada katak!" Balas Khairunnisa,
disambung dengan ketawa lagi. Kemudian, dia membaca puisi yang bertajuk Mari
Membaca itu di hadapan saya. Tersenyum saya melihat si kecil itu,
tanpa tersekat-sekat berjaya menyudahkan bacaan puisinya sekali habis.
Secara jujurnya, saya
mengakui bahawa Bijak Si Katak Bijak adalah sebuah buku puisi
kanak-kanak yang berjaya. Bukan mudah mahu memikat kanak-kanak agar mencintai
puisi tetapi Siti Zainon telah membuktikannya melalui buku ini. Beliau adalah
penyair yang tajam naluri dalam memahami jiwa kanak-kanak. Katak yang dipilih
sebagai lambang dalam mencapai kebijaksanaan adalah idea yang kreatif kerana
sememangnya tabiat kanak-kanak mudah tertarik dengan binatang. Cuma jika
lukisan-lukisan katak itu diberi sentuhan warna, saya yakin ia akan lebih
memikat perhatian kanak-kanak.
Kelebihan puisi-puisi
dalam buku ini pula terserlah daripada segi bentuk, bahasa, dan tema. Bentuk
puisi yang dirangka tidak kompleks untuk ditutur oleh kanak-kanak. Sungguhpun
puisinya singkat dan mudah, namun pengunaan unsur-unsur bahasa seperti rima,
irama, dan metaforanya tetap indah manakala mesej yang cuba disampaikan
melalui tema yang diketengahkan pula sesuai dengan peringkat umur kanak-kanak.
Buku puisi ini adalah
antara buku puisi kanak-kanak yang terbaik. Bukan sahaja segar,
bahkan puisinya juga mudah dideklamasi serta difahami kanak-kanak. Paling
penting, Bijak Si Katak Bijak sarat dengan pengajaran. Di
tengah-tengah masyarakat sedang berhadapan dengan arus pembangunan yang semakin
memudarkan nilai-nilai budaya, kemunculan buku puisi ini adalah satu sumbangan
sastera yang sangat menyuntik jati diri. Seharusnya ia menjadi bahan bacaan
yang perlu dipilih dalam usaha mencanai jiwa dan minda kanak-kanak agar
mencintai warisan budaya dan menjadi bangsa yang bijaksana.
Lebih daripada itu, saya
berpendapat Bijak Si Katak Bijak bukan hanya sesuai untuk
bacaan si kecil. Bijak Si Katak Bijak sebenarnya adalah untuk
semua ummat manusia yang beriltizam menjadi bijak, lebih bijak daripada si
katak
BUKU INI MEMENANGI HADIAH SASTERA PERDANA MALAYSIA
KATEGORI BUKU PUISI REMAJA 2012