Wednesday, 9 March 2016

SITI ZAINON ISMAIL & HAN SUYIN


Monday, 14 March 2011


SENTUHAN RASA SITI ZAINON

 ISMAILDANHAN SUYIN

 DALAM A MANY 

SPLENDOURED THING











Siti Zainon Ismai (kiri dan Han Suyin. Gambar Berita Harian





BARAT melihat cerminan diri! Itulah
ungkapan yang sesuai digambarkan antara
dua karektor, iaitu Dr SitiZainonIsmail, 
penulis, pelukis dan budayawan dengann




Han Suyin seorang penulis novel
moden dan autobiografi
yang banyak menghasilkan
karya hebat antaranya novel, 
A Many Splendoured Thing.

Pernah menerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA) pada 1989, 
Dr Siti Zainon pada mulanya mendalami novel karya HanSuyin dan secara perlahan-lahanmengagumiserta mendapati mempunyai banyakpersamaan, secara kebetulan, denganpenulis kelahiranHenan, China. 

Suyin atau Dr Elizabeth CK Comber, berdarah kacukanChina Belanda, menerima latihan doktor perubatan diLondon dikagumi Dr Siti  Zainon kerana kecenderungan pengarang itu menghasilkan karya berdasarkan pengalaman dan penelitian terhadap kehidupan  sekeliling untuk menggambarkan sesuatu secara realistik.” (Berita Harian, 10 Mac 2011).

Benarkah? Sesiapa yang mengenali Dr. Siti Zainon (mesra dengan panggilan Izan di kalangan kawan-kawan) tentunya dapat memikirkan cara berfikirnya ketimbang pemikiran Han Suyin melalui karya-karyanya. Ramai tak mungkin kenal pengarang Suyin tetapi ramai yang kenal Izan sebab beliau masih bernafas dan masih berkarya. Tidak pasti apakah ada persamaan pengalaman hidup Suyin dalam A Many Splendoured Thing, sebuah kisah autobiografi dengan pengalaman hidup Izan? 

Tentunya Izan menimba banyak pengalaman ketika di Yogyakarta di zaman remajanya dahulu sebelum pulang dengan segulung ijazah daripada Akademi Senirupa Indonesia (ASRI). Barangkali pula Izan memiliki pengalaman A Many Splendoured Thing-nya sendiri. Jika tidak di Yogyakarta, di tanah air sendiri setelah bergelar tokoh seni dan intelek.

Sesiapa yang pernah mengenalinya masih ingat kerjaya awalnya sebagai Pegawai Kebudayaan di Kementerian Kebudayaan dalam tahun 1970an dahulu dan penglibatnnya dengan Persatuan Anak Alam yang bergiat berhampiran Padang Merbuk di Kuala Lumpur. Dato’ Atondra, Dato’ Kemala, Ayob Yamin atau Yasmin Abdullah tentunya masih ingat. Izan juga pelukis, dia juga pemuisi, dia juga novelis dan dia juga cerpenis. Yang belum diusiknya mungkin bidang seni suara atau seni muzik.

Disebabkan lamanya Izan berada di Tanah seberang maka bahasanya pun mirip orang seberang tetapi lebih berlenggokkan Minang, bukan Jawa. Tetapi entah mengapa pada suatu ketika Izan lebih cenderung untuk menghadirikan diri ke Tanah Aceh. Izan pun pernah menerima gelaran dari sana. Ramai penulis dan pelukis yang satu angkatan dengan Izan, terutama Latiff Mohiddin tidak akan lupa suara lunak Izan apabila bercakap dan berbicara. Dan apabila berada di Sanggar Anak
Alam Izan akan menghabiskan masa melukis.

Demikianlah, barangkali Shuhaniza Said yang menulis di Berita Harian secara rasional membuat perbandingan kreativiti antara dua pengarang berdasarkan kepengarangan dan realiti kehidupan. Barangkali itu - tidak lebih dan tidak kurang! Sentuhan hati dan rasa dalam novel A Many Splendoured Thing mencerminkan persamaan begitu mendalam bagi kedua-dua tokoh. Intipati novel ini apa ya?



  1. Hebat juga Prof. Siti kita ini. Beliau patut menulis tentang A Mny Splendoured Thing versi beliau sendiri supaya kita dapat bayangkan kisah suka-duka beliau dalam dunia percintaan. Judulnya nanti mungkin diberi nama "Indahnya Cinta".

KAYU BERSURAT

Kayu Bersurat

 Siti Zainon Ismail  
Cerpen Terbit dalam Dewan Sastera
 Sumber: Kakiseni.com, 16 Juli 2002

Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan ZatNya. BagiNyalah kuasa memutuskan segala hukum. KepadaNyalah kamu semua akan dikembalikan.” (Al-Quran, XXV111, 88)

“KAYU BERSURAT?”
“Hem, yaa…kayu bersurat!”
“Bukan batu bersurat?”
Prof. Mike Houtman memang hampir tidak percaya apabila Dr. Aqran bercakap tentang kayu bersurat, bukan batu bersurat. Ah, dia sudah hampir 25 tahun mengkaji dan menganalisis batu bersurat. Dari lembah Krueng Raya menyusup ke kaki Gunung Suelawah; memang jenis itu sudah hampir pupus. Hanya tinggalan sisa lampau. Tidak ada lagi bengkel yang menyedia, membentuk dan mengukir kaligrafi di permukakan batu tiga dimensi itu lagi. Kini hanya kelihatan batu-batu gondol tanpa ukiran tanpa sentuhan pengukir. Memang asalnya itu barang import.
Sumber budaya benda yang ditempah dan dibawa dari negara Timur Tengah sana. Itulah yang ditemuinya dalam kerja bandingan antara makam Ratu Nahrasiah, puteri Sultan Zainal Abidin putera Sultan Muhamad putera Sultan Malikul-Saleh1, dengan makam Maulana Malik Ibrahim di Gresik; malah sama juga reka bentuk dan ragam hias kaligrafi dengan makam serta nisan ‘Umar al–Kazaruni’. Kaligrafi makam sarat dengan ukiran surah Yassin gaya tuluth berhias motif kubah berapit, dengan tambahan bentuk bekas air mawar, serta jejeran motif biji teratai seperti juga hiasan peterana di Dhevan-e-Khas Jahan. Bayangkan bagaimana perarakan batu nisan dari Lembah Attar yang muncul di zaman Babur dan terbukti dengan nisan kasih sayang Shah Jahan, boleh berarak menyeberang lautan dan muncul di Perelak dan Pasie? Terngiang pula lantunan suara Prof. Ali Hajmy, “sejak dulu, bila bahtera Iskandar mula mengibarkan bendera di puncak tiang, yang ikut serta bukan saja pahlawan, tukang masak, juru iring raja, pengarak kebesaran, panji-panji, tombak, pedang, tabuh pengenal masuk azan, pengiring gendang ya, termasuk pengukir batu, batu nisan…dan bertaburanlah nisan batu Acheh di serata pelusuk nusantara…”
“Ya, batu nisan, bukan kayu nisan.”
“Tidak, maksud saya, kawan saya itu, mengukir kayu bersurat!”
“Sebagai nisan?”
Dr. Aqran mengenalkan Prof. Houtman (lebih senang dipanggil dengan nama awalnya Mike) dengan Okam si pengukir kayu bersurat. Sekali lagi Mike terkejut tidak percaya, Okam yang diceritakan sebagai pengukir kayu bersurat tengah bersila di anjung rumah, di atas lantai papan yang disusun jarang, sedang mengadap kayu yang setengah telah dibentuk, dengan rambut bersanggul tinggi, berlengan pipih, berjari dengan kuku meruncing; ya dia wanita, pengukir wanita. Keajaiban atau keanehan atau satu keasyikan baru, mengkaji seorang pengukir – wanita. Dasar pengkaji! Dan Okam? Nama aneh juga…kenapa wanita yang masih segar bugar itu memilih kerja sebagai pengukir? Dan namanya OKAM!
Si Okam masih menerus kerjanya. Dari menukul baluh kayu, menurih, menggores, menebuk hanya dengan gerak tangan, lincah, wajahnya basah berkeringat. Setiap dia menghayun penukul kayu ke atas baluh, setiap itu Mike melantunkan pertanyaan yang tidak mudah dijawab. Memang dia tidak pernahpun memikirkan ada wanita mengukir kayu nisan.
“Ya, bila lelaki tidak lagi ada waktu mengukir nisan, tidak salahkan wanita mengambil alih, melakukannya…jadi anda fikirkan ini kayu nisan? – ah anda juga seperti peneliti budaya yang lain, memandang serong, aneh, inikan arca, jadi kenapa aneh, gerun dengan citra nisan? Ini konsep baru saya, ini siri kaligrafi seni rupa sebagai melangkah ke abad siber….”
“Tetapi kenapa citra nisan?”
“Anda merasa ini nisan?”
“Ya, ini lambang kematian, atau harapan mengarah ke dunia jauh sana!”
“Dunia jauh?”
“Anda tidak fikir begitu, jarak antara dunia hayat – fana dan alam baqa…?”
Aqran sudah mula menduga, Mike sarjana batu bersurat yang menghabis sisa kehidupannya di dunia Nusantara, sudah mula masuk ke dunia debat antropologi. Memang dia masih menyambung tugas sarjana–sarjana barat lain; mungkin kerja Daniel Perret dulu telah merangsang untuk meneruskan penyelidikan sarjana falsafahnya. Dia sudah mengumpulkan aneka jenis reka bentuk nisan di Kota Tinggi, di sepanjang sungai di Johor Lama termasuk Batu Sawar, menemukan jejeran makam pahlawan jalur keturunan akhir Melaka, seperti makam Sultan Mahmud, baik keluarga di raja di Makam Tauhid atau di Kampung Makam. Tetapi kenapa muncul makam dengan nisan batu Acheh dengan aneka susunan sendeng dengan berpuncak, bahu bersayap yang hampir terpotong. Dia melompat hingga ke Trengganu, menemukan batu bersurat penuh huruf jawi lama, meloncat lagi ke Pulau Bulan-bulan, juga menemukan latar yang sama, batu nisan, ditinggal sepi, tanpa nama, kecuali lakaran jawi Arab gondol, dikatakan sebagai makam pahlawan zaman Iskandar Muda. Dilanjutnya hingga ke makam raja-raja di Makassar, masih dengan reka bentuk yang tidak jauh bezanya. Untuk itu semua dia harus membandingkan dengan makam Ratu Barus dan Singkel, apa lagi makam di Kota Banda milik Iskandar Thani. Bukankah di situ berkumpul segala hiasan yang melambangkan kemewahan dan Ratu Safiatuddin sendiri mengarahkan keindahan reka bentuk dan ragam hiasnya? Tetapi aku bukan pengukir, dan Okam? Tidak mungkinkah pengukir Okam mula menembusi jalur sufi nenek moyangnya?
Dan Aqran mula rasa bersalah membawa Mike bererti mengganggu kerja seniman Okam. Dia sendiri juga hampir tidak percaya apabila Do Raman bercerita tentang seorang pengukir, mengukir kayu bersurat dan Mike mendengarnya. “Ya, kenalkan saya dengan pengukir itu…”
Tetapi Okam, dengan mirip orang yang pernah dikenalnya nun jauh di bumi Aberdeen, lebih sepuluh atau lima belas tahun dulu, apakah benar Okam itulah disapanya dalam bas sepanjang menyusur ladang gandum di Ellon musim panas jauh di benua utara. Lima belas tahun bukan waktu yang pendek, boleh saja Okam memunculkan gaya hidup baru daripada seorang sarjana komunikasi budaya merubah hidup dengan mengambil alih tugas ayahya, pengukir Nusantara. Okam atau Mar atau mungkin Do Ramanlah yang lebih tahu.
“Namamu aneh juga, mungkin kalau boleh saya tahu, nama lengkapmu…”
“Ya. Boleh saja dipanggil Okam, atau Ukam atau Ikam ya, tergantung kepada lidah masing-masing…!”
* * * * *
Ya Mar yang tersedu di ladang gandum perbukitan Ellon 20 km ke utara Aberdeen. Dan Do Raman yang terhimpit di Sheffield. Do Raman dengan dendam nyilu, dan Mar yang dicekam sedu. Atau dia hanya terganggu saja dengan episod Mar2.
“Mar?”
“Saya Okam.”
“Kam?”
Tetapi yang melantun-lantun kemudian ialah penukul kayu dengan amat perkasa membenamkan mata pahat memakan urat baluh arcasia. Jalinan akar mula tergelitat, mula mempamerkan liuk lintuk sulur bayung, tembus ke arah hujung puncak arcasia. Arcasia bagai mengaduh kesakitan setiap mata pahat menyiat dan merobek kulitnya. Tetapi Aqran bagai menikmati kesakitan baluh arcasia dan Mike masih setia melihat ke arah Okam yang bekerja tanpa peduli siapa di depan atau di sisinya. Ombak Pantai Irama seperti biasa menderu setiap kali memukul hujung karang, sesekali mendesah menjilat pasir pantai. Deru itu saling bersatu dengan hembusan bayu yang menggerakkan daunan pandan laut. Ya, Okam sudah dua minggu berada di rumah pengukir Nik Rushdam. Pengukir yang setengah gila mengukir hulu keris yang kerjanya memang masuk kampung keluar kampung di Patani, di Simpang Tiga hingga jauh ke Kompong Cham hanya untuk mencari gading gajah putih. Kalau lebih beruntung dia juga boleh mendapatkan daun pintu rumah lama dengan ukiran timbul berhias bunga teratai dengan kelopak tujuh lapis lengkap dengan putik yang belum berkembang sehingga muncul purnama penuh. Itulah antara sahabat baik Okam yang diketahui Aqran. Okam sendiri pernah bercerita, beberapa kali kawan dekat Nik Rushdam selalu terpana terkejut mendapat panggilan telefon pejabat kastam di sempadan Golok… “Cepat datang aku sudah dalam lokap, dituduh menyeludup barang antik Siam.” Dan sahabat juga tahu, selepas itu adalah caci maki Nik Rushdam, “binate, ngaku kerigh ni milik Sie, ini milik nenek moyangku, nah kau lihat ulunya, tengkuk ayam patah dagu, sayap kumbang dan batu nilam, delima semua dari lombong nenek moyangku, puih…”
“Okam?”
“Tidak ada pengukir bernama Okam?”
“Yang mengukir itu?”
“Si Mar, sudah dua minggu di sini, kenapa?”
Sekali lagi Aqran tersentak. Dua nama berbeza tetapi kenapa dia menemukan getaran hati yang sama.
“Hei, kau Okam, eh, kau Mar?”
“Okam? Oh O=orang, kam=kampung, dia mengaku orang kampung kalau datang ke sini. Ya itulah Okam barangkali.”
Deru ombak laut Aberdeen yang berlangit kelabu, bangunan batu yang juga berwarna kelabu, memang dia melihat wajah Mar yang sendu kelabu. Maaaaaar !
* * * * *
Arcasia bernyanyi
Meranti menari
Flamboyant berbunga lagi
Jati tergeliat menjulang tinggi
Siapa berteduh di bawah menanti?
Sang pengukir membentuk urat garis. Memastikan kelopak bunga bermula dari benih, muncul bersulur, meliuk ke kanan, meliuk ke kiri, menjulang ke atas berdiri tegak tidak menyombong kerana melentur ke bawah sopan bergoyang. Okamlah itu menyusun gerak sulur, memastikan kelopak cengkeh cukup jumlah daunnya, memastikan sulur kacang dan biji ketola tersusun rapi tidak bertabur dalam piring sari. Fikiran Okam tertumpu kepada mata pisau, menggariskan jalur halus, menyilangkan garis untuk mencipta piring sari saling bertindih membentuk kelopak lapan. Ingat, hanya hati yang lapang, fikiran yang tenang dan sukma yang luluh dalam zikir dinihari mampu mencipta bunga yang diinginkan. Namun siapakah yang menghimbau tepat jarinya turut menghiris kulit ari jari kelingking sebelah kanan sehingga dia sedar, sukmanya terlontar ke ruang paling jauh….rindu sukma terlantun, siapakah yang menyeru jauh entah dari mana…S u f i n a h !
“Sufinah?”
“Saya Okam, perempuan kampung di pantai Irama ini…Okam. Selamat malam, Assalamuaalaikum.”
* * * * * *
JEJERAN arca kayu bersurat sudah disusun memenuhi ruang taman. Berjejeran dengan susunan butiran batu sungai hitam dan putih. Longgokan daun bidara kering saling bertindih seakan melengkapkan lagi taman dengan jejeran kayu bersurat. Kayu bersurat pertama dengan ketinggian empat jengkal dari tapak, sejengkal jejari tapak, tubuh kayu bersuratnya berdiri sendeng lima belas darjah ke kanan. Itulah arca kayu bersurat yang pertama dihasilnya lebih enam bulan. Beberapa motif bunga pecah enam timbul berlapisan dengan motif bunga cengkeh, daunan teratai, beberapa anak ikan bagai terapung, dalam lingkaran kaligrafi bebas abjad alif, lam, lam, ha. Beberapa orang sahabat yang mula peka dengan pelajaran seni kaligrafi pula mula bertanya mana gaya tuluth, mana gaya kufi. Dengan ketawa dia menjawab, “inilah gaya Okam, kita harus belajar gaya anak tempatan.” Tentu saja sahabat-sahabat itu pada menyeringai mendengar nama Okam. Tentu saja nama pengukir yang belum pernah muncul dalam persada seni rupa tanah air. Biarlah, nama tidak penting, dan Okam juga tidak akan datang kalau pameran dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan.
Selepas itu memang ada yang muncul sambil menggelengkan kepala…ada suara lain pula yang berkata-kata,
“Ya reka bentuknya lebih awal sebelum batu bersurat, ukirannnya lebih berunsur alam Melayu, ya bukan Parsi bukan Turki.”
“Ya pengukirnya Okam, katanya apa, Orang Kampung?”
“Kata sahabatnya dia dari Pantai Irama.”
“Guru yang mengajarnya mengukir?”
Tidak ada jawaban. Tidak ada jawaban.
Okam
Okam
Dialah pengukir arca dengan ciri-ciri motif pucuk kayu bersayap, tegak dan sedikit sendeng ke kanan.
Hanya Do Raman yang muncul di taman arca itu, tersentak. Kala dia mendaki perbukitan menuju ke arah mencelah rimba padat dia tersandung dengan tunggul–tunggul kayu, dicacak di tanah yang baru ditimbus. Tunggul-tunggul kayu sebagai tanda di situ berkubur secara massa, orang-orang tak berdosa mati di kambus tergesa. Itulah citra ukiran kayu bersurat nun jauh di pesisir Selat Melaka. Sufinah, sudah kau temui Okam?
AZAN pun melantun-lantun, ke arah bukit, berbalik kembali ke arah kaki bukit dan terapung di celah-celah awan. Celahan kepulan awan saling berbayang jatuh di permukaan tasik yang juga sudah dibiasi bentuk kubah biru, berkaca di permukaan air. Aqran, Do Raman, Mike masing-masing sedar, pemandangan begitu tidak pernah tunggal. Malah saling melantun-lantun juga dalam ingatan pancaindera dan minda. Dengan latar belakang ilmu yang berbeza tiga orang sahabat ini, bagai sepakat mengandai, memang ada suara zikir yang melantun dari arah roh sang pengukir, lewat roh zikir itu pulalah yang bertebaran lewat jalinan kerawang, bunga cengkeh, sulur bayung, dan unggas kecil seakan sayap burung dan sayap atau sirip ikan bertebaran dalam beberapa arca kayu bersurat. Sanggupkah mereka menyatakan kesepakatan, di situ telah menyatu jalinan surat abadi yang telah saling terikat tersimpul hanya dapat dibuka melalui mata hati?
Diam-diam Sufinah mencatat dalam buku di depan ruang pameran…
‘Ukiran abadi Okamku = Orang Kampung, dengan denyut pencarian menuju Rumah Abadi’
Baik Mike, Aqran dan Do Raman memang tidak bertanya lagi tentang kayu bersurat. Tetapi kenapa Okam tidak datang?
GOMBAK
24-27 Mei 2002
1T.Ibrahim Alfian, “Ratu Nahrasiah” dalam Wanita Utama Nusantara (1994:16)
2 Lihat cerpen “Mar” dalam Attar Lembah Mawar (1988: 85-95)
——————————–
BIODATA PROF. DR. SITI ZAINON ISMAIL
(18 Disember 1949, Gombak, Kuala Lumpur)
  • SITI ZAINON ISMAIL adalah pengajar Seni Budaya di Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu. Beliau menulis dan mengkaji sejarah, estetika kesenian Melayu, kesenian budaya benda dan pemuziuman. Setelah mendapat kelulusan Sarjana Seni Rupa Indonesia (1973), beliau bertugas sebagai jurulatih kesenian di Kementerian Kesenian Belia dan Sukan (1974-1976). Dari sini beliau melibatkan diri dengan kerja-kerja penyelidikan Kesenian Tradisional seperti Wayang Kulit, Makyong dan Menora di samping mengendalikan kegiatan seni lukis kanak-kanak di Taman Budaya dan Pasar Seni Jalan Belanda. Pada tahun 1976, beliau meneruskan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (Sarjana Sastera, 1980) dan ijazah Ph.D (Universiti Malaya, 1992).
  • Sebagai pengkaji seni budaya, beliau telah menghasilkan buku ilmiah seperti Getaran Jalur dan Warna (Fajar Bakti: 1986), Rekabentuk Kraftangan Melayu Tradisi (DBP: 1992), Lambang Sari Gamelan Terengganu (bersama Harun Mat Piah, UKM: 1988), Percikan Seni (DBP: 1988), Tekstil Tenunan Melayu (DBP: 1990), Alam Puisi DBP (DBP: 1990), The Traditional Malay Handicraft Design (DBP: 1998), Busana Melayu Johor (Fajar Bakti: 1997) dan Zikir Pelangi, The Rainbow (Galeri Melora: 2000), Pakaian Cara Melayu (UKM 2006/2007.2009) , Suara Hujung Tambak Acheh (DBP 2012)
  • Siti Zainon juga adalah penyair dan pelukis Malaysia yang masih aktif berkarya. Antara karya kreatif beliau ialah Nyanyian Malam (puisi, DBP: 1976), Puisi Putih Sang Kekasih (puisi, UKM: 1984), Daun-Daun Muda (1986), Dongeng Si Siti Kecil (1988), Perkasihan Subuh (puisi, Bulan Bintang Jakarta 1: 1987), Kau Nyalakan Lilin (UKM: 1990) dan Bunga-bunga Bulan (Creative Interprise 1992), Wikir Merapi (Galeri Melora 2004), Gelombang Rayeuk Aceh Tsunami (Galeri Melora 2004), Bait Senandung Malam (ITNM, 2012), Kasih Bonda kamapung Paya Kami (DBP 2008,2014,2015 ), Surat Dari Awan (ITBM 2013) , 100 Malay Broverb-Petatah Petitih Melayu (ITBM  2007) dan Satu Set Siri Siti Kecil - Cerita kanak-kanak (ITBn, 2012,2014,2016)
  • Beliau juga menghasil Antolog Cerpen : Seri Padma (DBP 1988), Bunga Putik Putih (DBP 199i,2014,2015), Kampung Paya Kami (Galeri Melora 1998),Jurai Palma (DBP, Rindu Pala Muda (DBP2006), Nyanyian Orang Laut ( bersma A. Rahmad Galeri Melora, 2000), Piaza di Spagna (Galeri Melora,2004), Rumah kasih uwan (UTBM,20113). Dan Novel beliau ialah : Rembang Flamboyan (Fajr bakti ), Pulau Renek Ungu (DBP 1990, 2014,2015) dan Delima Ranting  Senja (Utusan Publication )
  • Karya-karya puisi-cerpen beliau telah diterjemahkan ke dalam berbagai bahasa asing seperti Bulgaria, Hindi, Inggeris, Jepun, Jerman, Korea, Mandarin, Perancis, Russia, Tamil, Thai dan Urdu. Beliau kerap diundang untuk menyampai pembacaan puisi dan membentang kertas kerja baik di dalam dan luar negara. Antaranya ialah Valkmiki Poetry Reading, New Delhi-Bopal (1985), Young Writers Conference, Bali (1985), Korean International Poetry Conference (1986), dan Malaysian Poetry Reading, SOAS, London (1995).
  • Atas hasil kerja seni budaya ini beliau kerap menerima anugerah seperti Hadiah Sastera Malaysia (puisi 1976, 1978, 1980/81, 1982/83, 1988,2004,2010,.2012,2014), Hadiah Cerpen Dewan Bahasa Maybank (1992/1995) di samping anugerah SEA Write Award Kerajaan Thai (1989), anugerah gelar Cut Nyak Fakinah, LAKA Acheh (1990), anugerah kerjaya Tan Sri Fatimah-Evon (1993), Pingat Jasa Kebaktian Selangor (1993), anugerah Prof. Luar Biasa Universitas Jabal Ghafur, Pidei (1996). Hingga kini Siti Zainon masih memberi khidmat di UKM, pensyarah jemputan Universiti Malaysia Sarawak , Prof Kontra di Universi Malaysia Sabah (2014-2916) di samping kerja bakti melalui sekretariat Kebajikan GAPENA, Pengerusi Lembaga Pelawat Rumah Ehsan Selangor, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Kesenian Perak serta tenaga penggerak amal seni kemanusiaan Galeri Melora, SEBUDI  92013 - ) dan S.A.K,A (2015- ) dan Ahli Majils Bahaa da nSeastera Sabah..

KOMENTAR KASIH BONDA KAMPUNG PAYA KAMI



Monday, 10 November 2008


Kasih Bonda -

Kampung Paya Kami

Tajuk Buku : Kasih Bonda - Kampung Paya Kami

Penulis : Siti Zainon Ismail
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka 
Pengulas : H. Ardy


Saat kita melalui zaman serba canggih ini, berapa
ramai
orang yang suka mengimbau kenangan silam hidup 
mereka di kampung yang kental dengan unsur
tradisinya? 
Berapa ramai pula yang sanggup mempertahan
kannya daripada dikambus oleh pemodenan atas 
nama kemajuan?

Mungkin itu mesej yang ingin disampaikan oleh Siti Zainon Ismail melalui kumpulan 
puisi sketsa Kasih Bonda: Kampung Paya Kami. Kumpulan puisi in lahir mungkin 
untuk mendepani usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang memperkenalkan
Draf Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 yang dicanangkan akan menghapuska
kampung tradisi di pinggir Bandar.

Kumpulan puisi ini terbahagi kepada lima bahagian: Keluarga Kami (Bahagian 1),

Halaman Sekolah (Bahagian 2), Kehidupan Kampung (Bahagian 3), Mari Bermain
(Bahagian 4),dan Perayaan (Bahagian 5). Keseluruhannya memaparkan 47
buah puisi Pengenalan kumpulan puisi ini dinukilkan oleh Sasterawan Negara 
A. Samad Said.

Siti Zainon memulakan kumpulan puisinya dengan “Sungai Gombak, Kasih

Bonda”. Penyair 
menggambarkan Sungai Gombak pada tahun 1950-an yang masih terpelihara, dengan 
jambatan gantung yang merentanginya dan ikan teberau yang melompat-lompat ria.
Di gigi airnya para ibu membasuh kain manakala anak-anak kecil berlompatan mandi.
Peri kasih Siti Zainon kepada Sungai Gombak digambarkan pada bait ini: di situ 
darahku mengalir/o kasih bonda/kala bidan Diyeh membersihkan uri/pertama kali 
aku mandi suci/mensyukuri limpah kasih ibunda kami.

Puisi lain di Bahagian 1 banyak mengungkapkan diri penyair dan keluarga. Antaranya 
puisi “Rumah Kami” yang dimulai dengan kehadiran Siti ke dunia. Penyair juga
menukilkan puisi yang menceritakan si ibu berusaha keras mencari rezeki, si ayah 
yang suka bertukang, dan almari hias nenek yang dikelilingi pelbagai perkakas.

Bahagian 2 memuatkan puisi tentang alam persekolahan Siti. Selain mengaut ilmu
dunia, Siti tidak mengabaikan ilmu akhirat. Jika paginya di sekolah, petangnya pula
di surau. Hal ini digambarkannya melalui puisi “Surau Tinggi Kami”. Selain itu,
terdapat puisi tentang Bulan Bahasa Kebangsaan, hari peperiksaan dan hari ibu bapa.

Budaya hidup berkampung penuh tradisi digambarkan pada
Bahagian 3. Siti Zainon membariskan puisi tentang tradisi meraut lidi, mengail ikan,
membakar lemang dan mendulang bijih. Agak menarik kerana penyair menggambarkan
masyarakat kampung pelbagai kaum yang hidup dalam harmoni. Antaranya puisi 
“Aya Kacang Putih”, “Apek Kelentong”, “Mamak Rojak” dan “Orang Arab Jual Kitab”.

Bahagian 4 memuatkan puisi tentang permainan dan persembahan tradisi yang diamalkan
di Kampung Paya seperti bermain congkak, panggung bangsawan, dan 
opera Cina. Bahagian 5 pula sarat dengan puisi yang mengisahkan adat tradisi dan 
suasana perayaan orang Melayu. Antaranya “Bakar Kuih Baulu”, “Sembelih Ayam”, 
“Setelah Takbir Raya”, “Penanggah”, dan “Silat Pengantin”.

Menghayati kumpulan puisi ini menyebabkan kita terkenang sesuatu yang kita
 sudah kehilangan pada hari ini. Penyair menggunakan ungkapan yang
 mudah dan tidak terlalu puitis. Mungkin penyair ingin menyampaikan
mesej terus kepada khalayak, khususnya pihak berkuasa tempatan supaya
 berfikir panjang sebelum bertindak.

Sumber : Dewan Sastera Oktober 2008
- Ssee more at: http://myulatbuku.blogspot.my/2008/11/kasih-bonda-kampung-paya-kami.html#sthash.mjYY9VaP.dpuf

HADIAH SASTERA PERDANA MAAYSIA KE 18


Monday, 18 January 2010

SIRI ANEKDOT, 2010 


Hadiah Sastera Perdana Malaysia ke 18 - Sesat ke Taman Buku????





BUKAN DiSENGAJA.

Maaf buat seluruh sekretariat HSPM. Pesan pertama tiba menyatakan acara penyampaian ASPM akan diadakan pada 14 Januari 2010. Panggilan telefon kedua bertanya, " apa komen, kalau penerima hadiah eceran tidak dipelawa naik ke pentas....terlalu ramai nama sejak hadiah tahun 2005 , acara pada 18 Januari" . 

Secara rasional saya menduga penerima hadiah eceran tidak naik ke pestas, jadi tidak perlu dicatat dalam diari, datang tidak datang sama saja. Dua anugerah yang saya menangi judulnya juga sudah lupa (haahaa 2005, 2006). Langkah jasmani pula memang sudah merasa letih masuk ke hotel mewah, susahnya mencari tempat letak kereta atau kalau pakai pemburu jaga kereta harus dengan sogokan wang melampau. 

Petang semalam, saya santai, menyusur dari TNB Gua Batu , menyelesai bil letrik , air, cukai pintu untuk rumah Tanjung Karang, Bangi dan rumah ibu di Gombak. Denda lewat bayar letrik setiap bulan RM 250.00 walaupun bil bulanan cuma RM 15. Kerana kerusakan meter lebih setahun bil tertunggak RM 1,865.00. Meter air rumah Bangi sudah dipotong kerana tidak dihuni sejak setahun. Alasan mereka senang saja: jika terbiar, rumah kosong, meter akan dicuri anak nakal. Ya alasan munasabah untuk juru pasang meter air. Tolak jumlah bil, wah nampaknya....tidak berbaloi dengan jumlah hadiah yang tertangguh (jumlah @ setiap karya eceran RM 1,000 x 2 )

Ha bosan dengan kira-kira wang saya bersantai lag
i meneruskan perjalanan, masuk ke kota hujan ribut mencurah. Setengah mengantuk tersengguk mengambil Cik Melor di Jalan Datok Onn. Masih ada dua jam tersisa....ayuh kita ke Taman di Lembah Tengah? Anda tertanya, di mana itu hahahha....bahasa terjemahnannya ialah The Garden - Mid Valley. Di situ sudah menanti sejumlah ratusan judul yang setiapnya mengkelabukan mata, kilau kemilau....jangan kecewa kalau tidak bertemu rak buku Melayu....setelah berkeliling lebih satu jam, baru terlihat rak di sudut belakang, berlabel Buku MALAYSIA huiiii....dengan senarai judul Agama dan ..... Cinta, SEGALA JUDUL berakhir dengan perkataan CINTA, KASIH, RINDU. Sebaris rak, hanya kamus terbitan DBP. Tetapi jangan terkejut, buku-buku oleh tokoh KIRI mendapat tempat khas....wauuuuu. 

Di celah rak bahasa asing di ruang Fiction , terselit antara judul puisi Basho, Keats, Yeats saya terjumpa setengah terlindung karya SN Dato' Samad Said , the Morning Post - Hujan Pagi. Setengah nakal atau lebihnya m a r a h , saya keluarkan kan buku terselit dan meletaknya buku terbaru ke hadapan. Nah selamat dikau di situ pasti tersenyum ya....

Jadi rencana untuk berpatah balik ke simpang Chowkit menuju ke hotel yang satu itu sudah pasti sudah didatangi dengan meriah.....bagaimana ya....Cik Melor masih mengheret bakul buku gembira setelah mendapatkan Fatimah's Kampung oleh Iain Buchannan, karya yang memilukan tentang kampung Melayu yang ditelan pembangunan diganti dengan Kampung Melayu untuk dunia dagang pelancongan. Sambil menunggu dia menarik judul-judul lain, saya sudah membuka halaman Raising My Voice, riwawat perjuangan Malalai Joya, perempuan muda, ahli parlimen yang berjuang hak perempuan di Afghan. Di depan saya terpapar dengan gahnya potret Shamsiah Fakeh, Kasim Ahmad, buku yang dipamerkan bergaya di ruang buku-buku terbitan luar negara. 

Setelah menjawab panggilan Syakirin, bertanya saya di mana , telefon masih berdering...tapi tidak dapat dijawab lagi...bateri mati. Maafkan saya CiK Puan Zaiton, Siti Aishah, dan tentu saja Ketua Pengarah DBP, penulis ini tersesat di kedai buku yang cantik - Border
s di aras tiga bangunan ' Taman di Lembah Tengah ', ibu kotaku yang kehilangan Laman Abdullah Hukum !! ????....


Gombak
19.01.2010

CHAIRIL ANWAR - AKU INGIN HIDUP 1000 TAHUN......

Chairil Anwar
26 Julai 1922 - 28 April 1949
Al- FATEHA ...
WALAUPUN AllAH SWT MEMINJAM USIANYA HANYA SETAKAT  27, TAHUN  NAMUN DENGAN SLOGAN UNGKAPAN BAIT PUISI " AKU INI HIDUP 1000 LAGI"
YA ALLAH BUKAN SAJA SAJAK INI TERUS BERGEMA, TETAPI DI MALAYSIA SUDAH BERAPAKAH JUMLAH NAMA KHAIRIL ANUAR/ ANWAR?
MENJADI PENYAIRKAH ANDA DENGAN NAMA YANG DIPINJAM OLEH ORANG TUAMU DENGAN NAMA TOKOH PUISI DUNIA INI
WAHAI ANDA YANG BERNAMA KHAIRIL  ANWAR 
APAKAH REAKSI ANDA APABILA NAMAMU SAMA DENGAN
 TOKOH " AKU INGIN HIDUP 1000 TAHUN?
Dilahirkan di Medan, Sumatera Utara, 26 Juli 1922, dan meninggal di Jakarta, 28 April 1949. Bersama Asrul Sani dan Rivai Apin, sastrawan yang oleh H.B. Jassin dinobatkan sebagai Pelopor angkatan 45 dalam puisi itu, mendirikan “Gelanggang Seniman Merdeka” (1946). Kumpulan puisi penyair yang pernah menjadi redaktur ruang budaya Siasat “Gelanggang” dan Gema Suasana ini adalah Kerikil Tajam dan yang Terampas dan yang Putus (1949), Deru Campur Debu (1949), Tiga Menguak Takdir (1950; bersama Asrul Sani dan Rivai Apin), Aku Ini Binatang Jalang (1986), Derai-derai Cemara (1998). Karya-karya terjemahannya: Pulanglah Dia Si Anak Hilang (1948; Andre Gide), Kena Gempur (1951; John Steinbeck). Penerjemahan karya-karyanya ke dalam bahasa Inggris dan Jerman dilakukan Burton Raffel, Chairil Anwar: Selected Poems (New York: 1963) dan The Complete Poetry and Prose of Chairil Anwar (New York: 1970), Liaw Yock-Fang (Singapura: 1974), Walter Karwath, Feur und Asche (Wina: 1978). Karya-karya studi tentang Chairil Anwar antara lain dilakukan oleh: S.U.S. Nababan, A Linguistic Analysis of the Poetry of Amir Hamzah and Chairil Anwar (New York: 1976), Boen S. Oemarjati, Chairil Anwar: the Poet and His Language (Den Haag: 1972). PETIKAN @DRIWANCYBERNYSEUM

FRIDAY, 12 AUGUST 2011

Siti Zainon Ismail - Dari Anak Alam Ke Menara Gading – 

Ahmad Fadzil Yassin

Ayob Yamin (sekarang Haji) memperkenalkan kepada saya seorang gadis manis di Sudut Penulis , Tingkat 1, Dewan Bahasa dan Pustaka, satu malam pada tahun 1974. Ada pertemuan penulis dan pameran lukisan malam itu. Gadis manis itu, mrenurut Ayob baru pulang dari Yogyakarta. Indonesia. Katanya, gadis itu pelukis, lulusan Akademi Senirupa Indonesia (ASRI). “Dia itu kawan baik dan sama sekolah dengan isteri saya, Yasmin,” kata Ayob.

Saya melihat gadis manis ini pendiam orangnya. Setidak-tidaknya pada malam itu. Dia tidak banyak bicara. Ketika itu dia duduk di atas sebuah meja kecil, Kedua-dua belah tangannya memegang tepi meja sementara kedua-dua kakinya terjuntai ke bawah. Memang banyak orang yang hadir dan perkenalan kami Cuma setakat di situ. Sehinggalah pada suatu hari apabila saya menerima panggilan telefon daripadanya. Dia ingin memesan majalah Dewan Masyarakat untuk dihantar kepadanya setiap bulan. Sejak itu kami sering berbincang dan bertemu untuk menyemarakkan lagi dunia penulisan. Dia punya kelebihan , iaitu bakat melukisnya. Pun dia terdidik dalam bidang seni rupa.

Itulah Dr. Siti Zainon yang saya kenali. Kini dia seorang profesor Madya dan bertugas sebagai Pengarah Kebudayaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. Ayob Yamin, Latiff Mohidin dan beberapa kenalan baiknya memanggilnya Izan. Ibunya memanggilnya begitu. Barangkali itu nama timangannya sejak kecil. Ijazah Doktor Falsafahnya diraihnya empat tahun yang lalu. Baginya barangkali itulah pencapaian akademik yang paling dia tunggu-tunggu dan paling manis yang dia anggap sebagai kejayaan puncak kehidupan kampusnya.

Perjuangan dan suka duka untuk mencapai tahap yang paling tinggi dalam bidang pendidikan ini yang sekian lama dilalui tidak sia-sia. Barangkali dia sendiri tidak menduga bahawa pada hari ini, dia berada di persada mulia puncak menara gading sambil menyumbang bakti memaju kebudayaan yang pelbagai. Saya kira Izan akan selalu bernostalgia, menyelusuri kisah-kisah lama di negara tetangga ketika menimba ilmu. Sesekali dia akan bersedih mengenang nasib malang di perantauan. Dia akan mengenang jerih payah ibunya di Padang Balang yang selama beberapa tahun membiayai persekolahannya di Yokyakarta, sehingga dia tamat dan pulang. Namun apapun jua jerih payah ibunya itu adalah “sebutir emas” yang menjadi bekalannya untuk lulus cemerlang dalam bidang seni lukis.

Dua minggu lalu, tepatnya pada 18 Disember 1997, Izan merayakan hari ulang tahunnya. Puas, saya kira, dengan kerjaya yang diimpikan melalui lirikan senyuman dan linangan air mata . Baginya, kehidupan yang dia lalui sejak meninggalkan tanah air pada awal tahun 1970-an adalah ibarat mimpi sedih, ngeri bercampur indah dan mengasyikkan. Mimpi sedih dan ngeri kerana liku-liku kehidupan yang dia lalui di rantau orang tanpa persediaan yang cukup demi mengejar cita-cita yang saya kira berputik daripada nasihat pelukis Hussein Anas . Indah dan mengasyikkan kerana dia mula kenal mesra dengan pelukis-pelukis ternama Indonesia, seperti Affandi dan anaknya, Kartika. Di samping itu dia berpeluang membiasakan diri bertemu, berbincang dengan penyair dan dramtis Indonesia W.S. Rendra dan nama-nama besar yang lain. Pengalaman bertemu dan bekerja dengan nama-nama besar dalam dunia seni lukis dan persuratan ini adalah “kekayaannya” dan menjadikannya lebih matang dan dewasa.

Hingga ke hari ini hubungan intimnya dengan rakan-rakan sekarya di bumi jiran tetap utuh. Malah, keintiman itu telah berhijrah pula ke daerah Serambi Mekah di utara Pulau Sumatera, iaitu Acheh. Begitu kasihnya Acheh kepadanya, sehingga dia dianugerahkan gelaran Teuku Nyak Fakinah pada tahun 1990. Empat tahun sebelumnya dia menerima hadiah awal berupa piagam Seminar Sastera Nusantara, Universitas Jabal Ghafur, Acheh.

Latiff Mohidin, A. Ghaffar Ibrahim, Sulaiman Isa dan beberapa orang lagi tidak akan lupa akan kegiatan dan peranan wanita ini dalam kelompok Anak Alam yang setiap petang “ngumpul” di sebuah rumah di Taman Budaya berdekatan dengan padang yang sekarang dinamakan Padang Merbuk. Di rumah inilah ada kalanya ahli-ahli kumpulan ini berbincang-bincang santai tentang alam lukisan dan kepenyairan. Sesekali mereka serius melukis. Senja atau lewat malam baru mereka bubar. Bagi mereka alam adalah segala-galanya dalam proses penciptaan dan Izan bersama yang lain menjelajahinya melalui minda dan jejak langkah. Dan alam juga menjadikan Izan begitu perasa dan mudah terusik.

Dan dia juga begitu manusiawi. Dengarkan dia bersuara lewat sajaknya “Tukang Besi
Di Bengkel Kereta Api”:

Dia lelaki tiga zaman
telah dilengkungnya fajar kelabu
telah disilangnya keringat siang
dialah lelaki penakluk malam
menyentik hujan
silih berganti
jari kematunya masih mengetuk jeriji
seperti juga setia dia
menghitung malam

Jiwanya yang perasa itu dilahirkannya melalui berbagai-bagai ungkapan puitis dalam beberapa buah antologi puisinya. Sehingga tahun 1992 dia telah melahirkan Nyanyian Malam (1976), Puisi-Puisi Sang Kekasih (1984), Daun-Daun Muda (1986), Perkasihan Subuh (1986), Kau Nyalakan Lilin (1990), dan Bunga-Bunga Bulan (1992). Antologi terakhir ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris yang diberi judul The Moon is a cradle setahun kemudian. Terjemahan disempurnakan sendiri oleh suaminya sendiri, Hafiz Ariff Aveling.

Izan cuba bernostalgia melalui Rembang Flamboyan, sebuah novel remaja yang diterbitkan pada tahun 1995. Seting dan latar belakang cerita Jakarta, Bandung dan Bali. Ini sebuah kisah remaja dunia kampus, kisah seorang gadis di perantauan yang terpaksa bergelut dengan realiti dan karenah alam keremajaan di tengah-tengah dia memburu cita-cita. Anizah, watak utama Rembang Flamboyan dibuai rasa dan dia berkeras ingin menjadi remaja ideal yang mampu mengawal rasa dan perasaan. Semua dugaan hidup remaja berjaya dilaluinya dan akhirnya dia berjaya, bukan setakat meraih gelar sarjana tetapi juga tetap utuh setelah berdepan dengan berbagai-bagai dugaan dan godaan. Anizah mendengar lagu Trio Bimbo:

Senja itu
Flamboyan berguguran
Berserakan
Jatuh ke bumi…

Dan sewaktu dia ‘ngelamun” itu namanya dipanggil dan Anizah cepat-cepat memadamkan “ingatan padangan rembang flamboyan, menggantinya dengan kembang semarak merah menyalakan… dengan tekad utama.” Barulah Izan berasa puas apabila dia, melalui watak Anizah berdoa, “Tuhan, hidupku baru bermula,tiupi daku demi nyala cinta-Mu!’ Pada tahun yang sama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerbitkan Pulau renek Ungu.
Bagaikan tak puas mengukir kata dalam puisi dan novel, Izan melahirkan empat antologi cerpen, iaitu Sri Padma (1984), Dongeng Si Siti Kecil (1988), Attar Dari Lembah Mawar (1988), dan Bunga Putik Putih (1991). Pendidikan akademiknya dalam bidang seni rupa menyemarakkan lagi warna kerjayanya. Izan seperti membaurkan minat dan kerjaya, lebur dalam satu wadah budaya. Seni tekstil dan kraf tangan bagaikan menyatu pula ke dalam wadah itu. Dia melahirkan Getaran Jalur dan Warna (1985), Rekabentuk Kraftangan Melayu (1986), Percikan Seni (1988), Tekstil Tenunan Melayu (1994), dan The Craft of Malaysia (1994).

Dalam perbualan pendek melalui telfon beberapa hari yang lalu, dia memberitahu yang dia sudah pun menyiapkan manuskrip untuk buku mewah berjudul Busana Melayu Johor. Katamnya penerbitan buku ini akan ditaja oleh Yayasan Johor dan bakal terbit tidak lama lagi. Dalam pada itu, Izan sedang sibuk pula dengan rancangan untuk mengadakan pameran lukisan keliling negara-negara ASEAN. Menurutnya, beberapa pelukis dari negara-negara sahabat ini akan bergabung tenaga menjayakannya. Sebenarnya, kegiatan seumpama ini tetap dia teruskan . Beberapa pameran lukisan , hasil koleksi dan karya peribadinya telah pun diadakan sepanjang kerjayanya. Semacam lukisan itu telah sebati pula dengan darah dagingnya. Dia amat giat dalam bidang ini hingga kadang-kadang terfikir juga bagaimana dia membahagikan waktu melakukan semua ini. Misalnya, pada tahun 1976, dia menjadi ahli jawatankuasa Anak Alam selama tujuh tahun . Setelah itu dia bergiat pula dalam Persatuan Pelukis Malaysia himgga tahun 1984. Pada tahun 1991, untuk selama tiga tahun dia dilantik menjadi ahli Lembaga Balai Senilukis Negara . Institut Teknologi MARA melantiknya sebagai pemeriksan luar Kajian Seni Halus pada tahun 1987, 1991 dan 1993.

Kualiti perjuangan dan hasil karyanya tercermin melalui hadiah dan penghargaan yang diraihnya. Sejak tahun 1960 karyanya telah diberi pengiktirafan sebagai yang berkualiti. Pada tahun itu, Izan memenangi Hadiah Seni Lukis Sekolah- Sekolah rendah Selangor. Semasa menuntut di Yokyakarta, dia mendapat penghargaan Hadiah Sketsa Kartini, ASRI. Pada tahun 1972, dia menerima pula hadiah utama Pelajar Seni Lukis ASRI.Dalam bidang penulisan Izan meraih Hadiah Sastera genre puisi sejak tahun 1975 lagi. Hadiah Puisi Islam PUSPA, Kelantan 1987, Hadiah Esei Seni, Dewan Sastera 1988 dan puncaknya Hadiah SEA Write Award di Bangkok, 1989. Tiga tahun lalu kerana jasanya yang tidak ternilai dalam usaha menaikkan martabat wanita, Izan terpilih menerima Anugerah Tan Sri Fatimah Avon.

Demikianlah, dalam usia yang masih dianggap muda, kejayaannya dalam bidang seni lukis dan penulisan serta pencapaian puncak dalam bidang akacemik merupakan hasil kerja keras yang tiada hentinya sejak dia menjejak kaki di bumi Indonesia. Di sanalan tersimpan segala khazanah suka dukanya dan di sanalah berputiknya impian untuk menjadi seorang wanita “serba boleh”. Dan saya kira kelunakan suaranya berbicara lancar, terutama apabila dia memperkatakan sesuatu dalam bidangnya ini adalah bukti keserbabolehannya itu. Dialah Siti Zainon Ismail yang doktor dan senang dengan nama Izan Baina. Terakhir ini dia sering membahasakan dirinya “bonda” atau “kakak” apabila bersembang rasa dengan penulis-penulis remaja. 

(Utusan Zaman, 5 Januari 1997).