Sunday, 27 March 2016

PAMERAN KELILING 30 TAHUN SITI ZAINON DALAM WARNA - JAKARTA OGOS 1997


DANARTO: Pelukis Siti Zainon Mendendangkan Kegembiraan Hidup


Pameran ini dirasmikan oleh Ibu Dr Ainon Asri Habibie

*Siri Komentar/Kajian Karya Seni SZI (KERIS)

Catatan Pameran Keliling 30 Tahun Siti Zainon dalam Warna - Jakarta Ogos 1997


Menyaksikan sejumlah lukisan karya Siti Zainon (selepas ini dicatat SZ) adalah menyaksikan orang yang mendendangkan kegembiran hidup. Bagi SZ, hidup ini indah, ertinya seluruh yang digelar didunia ini mendatangkan kenikmatan jasmani dan arohani yang wajib disyukuri. Ya benar tak habis-habisnya. Bahkan jika selingan kesengsaraan hidup dinikmati dan disyukuri. Satu penderitaan, seribu keceriaan menggantinya. Hidup banyak liku-likunya , tapi seluruh liku-liku itu bagi SZ hanya kegembiraan yang nampak. Konsep keindahan dalam kesenian itu sendiri yang banyak ditulis dan diucapkan orang, bagi SZ adalah kegembiraan hidup itu.

Bagi SZ, tidak ada alasan untuk membenci hidup atau menyesalinya. Setelah dapat mengutarakan perasaannya melaluinya garis dan warna, dalam kamus SZ sudah tidak ada kata yang disebut kesusahan itu. Seseoalah kata itu tidak pernah didengarnya, apalagi diucapkannya. Orang yang sedih, atau yang hanya melihat penderitaan hidup, bagi SZ orang itu sungguh merugikan sendiri. yang penting ialah kerja dan berusaha. Suatu kerugian yang besar apalagi
keindahan penciptaan, benda-benda merupakan indahnya Penciptaan-Nya. Dari pemandangan atas semua itu, SZ dapat menikmati keindahan untuk sebuah derita kehidupan.

Memang dalam kurun puluhan tahun ini, lahir berbagai kemungkinan jalan kehidupan. Kita memilih dan menempuh jalan kita sendiri-sendiri. Kita berbahagia di dalamnya dengan berbagai pergolakan yang sering tak mampu atau sangat sulit kita tanggung lagi. Tapi itulah hidup. Keindahanan dari suatu tantangan hidup keindahan dari suatu kejatuhan, kecelakaan, bahkan keputusan itu sendiri memberikan kekayaan yang dicatat sedalam-dalamnya di dalam hati bercampur dengan kejayaan hidup. Airmata yang menyertainya adalah doa yang diucapkan hati yang tak beraudio - tak bervisual , akhirnya bermuara pada keindahan dan kegembiraan hidup itu. Kegembiraan hidup itu bagi SZ dipahat di dalam dadanya yang sinarnya memancar ke mana-mana.

Bagi SZ, seni lukis adalah jalan untuk bergembira. SZ mengaji, menari, menyanyi, tertawa, berenang, membaca, menulis catatan harian, makan, minum, piknik dan marah-marah sambil membanting pintu. Tapi dasar filsafat yang menyebabkan dia membanting pintu adalah filsafat kegembiraan sehingga pintunya tidak rusak.

Seluruh kegimbaraan hidup yang digambarkan SZ bermuara pada aneka warna yang cerah yang mewakili hatinya yang mendapat kepuasan hidup. Merah, kuning, biru, hijau, ungu, jingga, yang meliuk di atas warna putih atau hitam dan biru, adalah suatu luapan dari optimisme hidup. Karyanya " Kolam Kasih Tanjung 1" (sudah menjadi koleksi BJ Habibie, mantan Presiden RI) nampak pasangan ikan sedang berkasih-cinta. Bagi SZ, ungkapan utama kegembiraan hidup adalah cinta-kasih. Hanya dengan cinta-kasih, hidup ini tidak saja berharga tetapi juga mendapat berkah Yang Maha Mengerti. Cinta kasih memburu kita untuk memburu peran-peran yang diidamkan banyak orang dalam masyarakat kedermawanan hati.

Cara SZ mengutarakan kegembiraan itu persis anak kecil dengan cara sendiri, lugas, unik dan gembira mencoba memahami keadaaan kelilingnya. SZ mengerti bahawa kegembiraan anak kecil itu lahir dari perasaaan yang tulus. Siapa yang bisa menandingi ketulusikhlasan anak kecil? Perilaku mereka yang lucu, naif dan ajaib, sama sekali bertentangan dengan perilaku orang tua yang begaimana pun arifnya. Anak-anak menjadi pujaan dunia, lebih-lebih dewasa ini, perang saudara terus berkecamuk di berbagai negara di mana-mana banyak sekali anak kecil menjadi korban dan mereka yang selamat itulah satu-satunya hiburan yang masih bersisa di antara desingan peluru dan bombandir bom.

Pada lukisannya " Hulu Riau 1" , persis lukisan kan-kanak , nampak kebun diramu SZ dengan warna lengkungan biru. Itulah bentuk bentuk cinta-kasih yang sedang berlaku,

Karya yang lain " Zikir Banten". " Istana Kaibon 1- 11 " dan " Pintu Aceh" menggambarkan kekayaan etnis di berbagai daerah di Nusantara. SZ mengambil bahagian dari bangunannya, meramunya dengan warna-warna baru yang meriah. Cara begini mengantar SZ melangkah ke abstraksi. Lihat saja " Renggali 11" , " Fatihah Riau", " Bulan Madu 1". " Seulawah Agam 11" dan " Bulan Gerimis September" sudah menjadi lukisan abstrak.

Cara kerjanya tetap menggunakan visi anak kecil dengan teknik tepat. Warna cerah dengan bidang-bidang atau ruang bersa menunjukkan perhatiannya peda membimbing ke arah yang Saublim. Agaknya SZ menempuh dua jalan. Pertama, kekuatan garis. Kedua, kekuatan bidang atau ruang. Jalan mana dipilihnya? Kedua-duanya.

*******
*Danarto ialah penyair, cerpenis, penulis juga pelukis - ahli kumpulan Seniman Sanggar Bambu, Jogja

*Tulisan ini terbit dalam buku Zikir Pelangi- The Rainbow, Galeri Melora, 2000

SOROTAN DINSMAN > KARYA & AKTIVITI KEMASYARAKATAN SITI ZAINON ISMAIL



Siti Zainon perjuangkan kampung warisan
Date: Tuesday, August 26 @ 15:23:26 MYT
Topic: Penulis Tamu
Oleh Dinsman
NAMA Siti Zainon Ismail atau Prof Dr Siti Zainon Ismail memang terkenal dalam dunia sastera dan seni-budaya.Dia pernah dipilih menerima SEA Write Award 1989, iaitu hadiah sastera peringkat Asean yang dianugerahkan oleh Raja Permaisuri Thailand, di Bangkok, pada setiap tahun.
Dan namanya juga sering disebut- sebut sebagai calon yang layak untuk menjadi Sasterawan Negara kita yang pertama dari kalangan penulis wanita.


Telah menghasilkan banyak buku puisi, cerpen dan novel serta hasil kajian di bidang kesenian Melayu tradisional dan juga busana peringkat Nusantara. Selain menulis dia juga seorang pelukis.

Hasil lakaran sketsanya yang menarik boleh dilihat dalam buku Kasih Bonda – Kampung Paya Kami (DBP, 2008) dan 100 Pepatah Petitih (ITNM, 2010).

Ditakdirkan Siti Zainon dilahirkan dan membesar mengenali kehidupan di zaman kanak-kanak dan remajanya di Kampung Banda Dalam, salah sebuah kampung Melayu warisan (terletak di daerah Gombak, dan sejak 1972 menjadi sebahagian wilayah Kuala Lumpur) yang kini sedang diancam kemusnahan atas nama ‘Pembangunan’ di dalam Plan KL 2020.
Mengikut sebuah tulisannya dalam buku terbarunya Rumah Waris Uwan – Membaca Peta Kuala Lumpur 2020 (ITBM, 2013), berita mengenai ancaman pembangunan Plan KL 2020 ke atas kampung kesayangannya itu mula diterimanya sewaktu dia berada di Eropah kerana menghadiri suatu seminar budaya, pada tahun 2003.
“Pulang segera, kampung kita akan ditelan jentera peledak Bandaraya,” begitulah bunyi sebuah pesan yang diterimanya melalui emel.
Dan sejak itu Siti sentiasa resah-gelisah dan marah kepada pihak-pihak yang tidak tahu (atau tidak mahu) menghargai warisan bangsa sendiri, sebaliknya sanggup memusnahkannya demi mengejar wang atau keuntungan material.
Buku Kasih Bonda – Kampung Paya Kami adalah rakaman khazanah seni-budaya dan adat resam Melayu. Apa yang tidak ada di situ?
Semuanya dirakamkan. 47 buah sketsa diiringi puisi (atau puisi diiringi sketsa) – merakamkan cara hidup, adat resam, pakaian, makanan, permainan, pendidikan, perayaan, susun atur rumah dan laman rumah, alat-alat dan barang-barang yang digunakan, sekitaran dan lanskap kampung – segalanya, dirakamkan.

Dirakamkan dengan penuh rasa kasih dan cinta seorang seniman kepada seni-budaya yang menjadi sebahagian daripada watak dan peribadinya sendiri.
Seperti yang dicoretnya di laman depan buku Rumah Waris Uwan kepada saya: “Apakah makna kehidupan kalau tanpa sejarah warisan?”
Dalam sebuah puisi panjangnya yang dibacanya dalam majlis menyambut “150 Tahun Kampung Banda Dalam”, diadakan di Madrasah Tarbiyah kampung tersebut, (Oktober 2010), Siti menyatakan: “Tidak sekali kita/menolak pembangunan/tetapi kenapa masih saja/ingin menjadikan pasar niaga/di tanah secuil warisan ibunda?”
Dan katanya lagi dalam puisi berjudul “Skrip berkisah: Kami Waris Kampung Banda Dalam” itu: “Hanya ini yang ada/secebis tanah menjadi intipan/atas nama pembangunan/ atau oleh peleupusan/ sebuah BANGSA/MELAYU yang mula dipinggirkan?”

Melihat kegigihannya bersama Imam surau Madrasah Tarbiyah dan Ketua Kampung, Cikgu Ishak Surin, memperjuangkan kampungkampung Melayu warisan itu, saya dan kawan-kawan Seniman Paksi rakyat (Paksi) mulai menunjukkan solidariti dengan sama-sama menganjurkan satu aktiviti seni-budaya yang kami namakan ‘Himpunan Seniman-Budayawan’, pada 7 Disember 2010.
Dan kini kami sedang berusaha lagi, untuk acara serupa, yang kedua, kami namakan “Himpunan Budayawan 1 Muharam”, dijadualkan pada 25 Oktober ini.
Sudah tiga kali mesyuarat diadakan untuk persiapannya, sebelum Siti bertolak ke Kota Kinabalu bagi tugasnya yang baru di Universiti Malaysia Sabah, baru-baru ini.
(Setelah bersara seketika daripada mengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia selama 30 tahun).
Tulis Siti di dalam Biodata Penulis di bahagian akhir buku Rumah Waris Uwan: “Baginya tempat kelahiran adalah titik awal yang berakar dan wajar dilestarikan.
Kini beliau berusaha merapikan koleksi budaya Kampung Banda Dalam bagi mempertahankan warisan seni kampung dalam kota.” (hal.129)

Demikianlah saya melihat perjuangan seorang seniman dan pengkaji seni-budaya Melayu yang komited dengan warisan budaya bangsanya. Siapakah lagi yang sepertinya, di kalangan kawankawan kita penulis, seniman, sasterawan, pelukis, budayawan dan ilmuwan?
Tidak ramai. Malah kalau difokuskan kepada tokoh yang berjuang bagi melestarikan “seni kampung” kelahirannya, sebagai khazanah bangsa yang sangat tinggi nilainya, dalam konteks sebuah tamadun, setakat ini, dengan hasil kajian dan koleksi karya yang telah dihasilkannya, mungkin hanya dia seorang.
Di Kampung Banda Dalam itu sendiri pun sebenarnya ada dua orang lagi tokoh sasterawan berjaya yang kini bergelar Datuk, yang sering disebut namanya oleh Siti Zainon dengan harapan mereka sudi ‘balik’ dan sama-sama berusaha mempertahankan hak untuk kampung itu terus wujud selaras dengan pembangunan tamadun bangsa. Tetapi setakat ini belum ada sebarang kabar dari mereka berdua itu.
Namun Siti Zainon nampaknya tidak akan mudah kecewa dengan sikap kawan-kawannya. Sambutan seniman-budayawan dalam himpunan pertama 2010 dulu sangatlah menggalakkan. Dan sambutan untuk himpunan kedua, Oktober ini pun, setakat ini, juga sangat menggembirakan.
Hanya yang memeningkan kepala kami ialah soal dana untuk pembiayaannya – belum ada.
Maka saya bertanya: Ada sesiapa ingin menyumbang?

>> Penulis boleh juga dihubungi dengan sms 019-7172408


Madrasah Tarbiah karya pelukis APS 2010


27 kampung menjadi ‘Negeri Budaya Gombak’
Date: Saturday, August 23 @ 14:09:35 MYT
Topic: Penulis Tamu

Oleh DinsmanSiti Zainon Ismail seorang penyair, cerpenis, novelis, pelukis, seorang sarjana seni-budaya (PhD dan pernah menjadi profesor di UKM), seorang pengkaji busana Nusantara dan seorang pejuang Kampung Warisan Melayu di Kuala Lumpur. Setelah bersara seketika dari Universiti Kebangsaan Malaysia, kini dia mengajar lagi di Universiti Malaysia Sabah.



Tidak ramai orang mengenali dia dengan pengenalan terakhir itu – pejuang Kampung Warisan Melayu di pinggiran Kuala Lumpur. Memang dia penghuni asal Kampung Banda Dalam di Jalan Gombak itu, dan rumah asalnya pun masih dijaganya dan mahu dijadikannya “Rumah Buku”, terletak berkembar lorong yang dijadikan jalan lalu-lintas kenderaan menyeberangi kampung yang sedia sesak dengan rumah-rumah itu.
Saya pun beberapa kali melalui jalan sempit itu dan merungut di dalam hati, seperti yang ditulis Siti: “Besarkan jalan di sini. Oi, kenapa buat pagar di pinggir jalan!” Dan tak pernah terfikir pula seperti yang dijawab Siti: “Aku setengah mati ingin berteriak; ‘Oi, kenapa jalan lewat kampung kami, jalanlah ikut lebuh Karak sana!’”

Siti Zainon merakamkan hal tersebut dalam buku terbarunya “Rumah Waris Uwan (Membaca Peta Kuala Lumpur 2020)” hal.32 (buku berukuran comel terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia – ITBM).Dalam tulisan (cerpen) berjudul “Gerimis Musim Bunga 2003”, Siti yang waktu itu berada di Eropah, di kalangan sahabat-sahabat akademiknya kerana mengahadiri suatu seminar budaya, tersentak apabila menerima emel yang berpesan: “Pulang segera, kampung kita akan ditelan jentera peledak Bandaraya.” Namun begitu pun dia sempat terkenang beberapa hal mengenai kampungnya, termasuk hal jalan sempit itu.
‘Orang luar’ yang menggunakan jalan itu (sebenarnya ‘lorong’, kata Siti, bukan ‘jalan’) tak terfikir pun permasalahan sebenar penduduk jati kampung. Seperti kata Siti – itu kampung laman mereka, kenapa kita nak susahkan mereka untuk senangkan kita memandu kereta melalui lorong sempit yang asalnya adalah laman rumah mereka itu.
Ya, itu satu hal kecil sahaja sebenarnya. Hal yang lebih utama ialah “Plan Kuala Lumpur 2020” yang mahu menukar keseluruhan kampung-kampung warisan Melayu di sekitar Batu 4 dan 5 Jalan Gombak itu, untuk projek pembangunan komersil yang akan menghapuskan rupa dan bentuk kampung-kampung itu, seperti berlaku kepada Kampung Abdullah Hukum (Jalan Bangsar) dan juga Kampung Segambut.
Bermula dari tarikh 2003 itulah, Siti Zainon dan orang-orang seperjuangannya di beberapa kampung itu menjadi gelisah, marah dan cemas memikirkan nasib dan masa depan Kampung Warisan Melayu di Kuala Lumpur. Saya dan kawan-kawan dalam Seniman Paksi Rakyat (Paksi) pun mula bergabung dan bermuafakat bersama dengannya dan Cikgu Ishak Surin (Imam dan Ketua Kampung), beberapa tahun kemudian.
Antaranya kami pernah menganjurkan Himpunan Budayawan 1Muharam 2010, bertempat di laman Madrasah Tarbiyah, Kampung Banda Dalam, dan melancarkan buku “Antologi Puisi 56 Penyair” sempena menyokong perjuangan orang-orang kampung mempertahankan hak mereka terhadap warisan tamadun Melayu itu.
Saya katakan tadi tak ramai orang mengenali Siti Zainon Ismail sebagai pejuang Kampung Warisan Melayu. Memang, dia sendiri pun barangkali tidak mahu dikenali begitu. Tetapi saya melihat penglibatannya dengan gerakan berkenaan agak konsisten, khasnya sejak pelancaran buku kumpulan puisi dan sketsanya “Kasih Bonda – Kampung Paya Kami”, Oktober 2008. (Kampung Paya ialah nama asal kepada Kampung Banda Dalam).
Bacalah koleksi 47 buah puisi diiringi sketsa (atau sketsa diiringi puisi) dalam “Kasih Bonda” (terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka) itu – anda akan mengerti betapa kasih dan sayangnya Siti Zainon dan betapa intimnya dia dengan seni-budaya warisan Melayu yang dihayatinya sewaktu dia membesar di kampung dalam daerah Gombak itu (menjadi wilayah Kuala Lumpur sejak 1972).
Warisan seni-budaya yang diabadikannya dalam 47 sketsa dan puisi itu dibahagikan kepada lima kategori – keluarga kami, halaman sekolah, kehidupan kampung, mari bermain dan perayaan.
Manakala buku terbarunya “Rumah Waris Uwan” pula memberikan kewajaran dan semangat yang lebih kental lagi terhadap perjuangan melestarikan seni-budaya warisan tersebut, yang secara organisasinya dipimpin oleh Cikgu Ishak Surin.
Ia barangkali sebuah dokumen mengenai sejarah Kuala Lumpur yang lengkap dari sudut pewarisnya, ditulis dengan gaya kreatif, segar dan menarik untuk dibaca, mengandungi cerita-cerita manusia peneroka dan pewarisnya serta cabaran-cabaran yang mengancam kewujudannya dan mencabar kesahihan dan kewarasan budi Melayu menyambut serangan modenisasi dan globalisasi abad ke-21.
Kalau orang bertanya kenapa empat-lima buah kampung warisan Melayu yang masih berbaki di sekitaran Kuala Lumpur itu perlu dipelihara dan dikekalkan, dan jangan sekali-kali dimusnahkan, maka dua buah buku Siti Zainon ini – Kasih Bonda dan Rumah Waris Uwan – bolehlah dikemukakan sebagai dokumen yang mewajarkannya (di samping hujah-hujah lain).
Cerpen “Gema Ronggeng 2008” misalnya, melukiskan reaksi marah penulis dan protesnya terhadap rancangan pihak berkuasa hendak meroboh kampung, seperti dalam perancangan Plan KL 2020 itu. Ia diisi dengan pelbagai fakta menarik mengenai kampung itu, termasuk senarai barang-barang lama yang diwarisi penulis dari nenda dan ibunya, terdiri daripada pinggan mangkuk, pakaian dan buku-buku.
Walaupun ditulis dalam bentuk cerpen, ia diisi dengan fakta-fakta. Makanya ia juga contoh bagaimana cerpen boleh menyalurkan pandangan dan pemikiran yang sebenar (real) mengenai sesuatu yang menjadi persoalannya.
“Jalur Muafakat Awal” pula, dengan 9 notakaki di hujungnya, menelusuri sejarah keluarga penulis hingga ke tiga generasi sebelumnya. Kisah nenek-neneknya yang berasal dari suku Batangkapeh, dari Teluk Inderagiri dan Pagar Ruyung, Indonesia. Ayahnya pula datang dari Tanjung Karang (asalnya) dan bekerja di bengkel keretapi Sentul, bersama beberapa orang lagi ahli keluarganya.
Ini cerpen autobiografi susur galur sejarah keluarga. Fakta-fakta sejarah yang ditulis secara kreatif-imaginatif sebagai cereka. Sebuah bahan rujukan yang cukup baik untuk mengenali sejarah sebahagian penghuni asal Kuala Lumpur, tiga generasi yang lalu. (Ditulis dalam naratif yang lurus tanpa unsur kenangan dan silang bersilang masa lalu dengan masa kini seperti dua cerpen sebelumnya).
“Mutiara Ilmu” pula menyelami isi kampung – merakamkan watak tokoh-tokohnya dari kalangan yang berilmu (cikgu, tok imam) dan yang tidak. Ibunya sendiri walau tak berilmu tetapi pandai menjahit dan menghias diri. Tuk Sarip Kambing yang pandai silap mata itupun turut mendapat sorotan. Dan digambarkan juga secara terperinci bagaimana tokoh-tokoh tertentu berpakaian dan menghias diri. Suatu rakaman sejarah budaya yang sangat penting.
“Rumah Waris Uwan” selain mengandungi cerpen dan puisi, juga memuatkan dokumen yang dibacakan pada majlis “Dirgahayu 150 Tahun Kampung Banda Dalam” pada 9-10 Oktober 2010, dan dokumen yang dibentangkan pada majlis penyerahan memorandum kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, 14-16 April 2009.
Ada satu perkara yang menarik pada akhir dokumen kedua itu. Siti Zainon mengakhirinya dengan menyatakan harapan: “Semoga seluruh 27 buah kampung di Gombak – dari Kampung Puah, Setapak hingga ke Batu 12 – dapat diangkat sebagai Negeri Budaya Gombak.” (hal.22)
Barangkali Siti Zainon perlu menulis sebuah buku lain pula bagi menjelaskan idea dan gagasannya mengenai Negeri Budaya Gombak itu
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/opinion/dinsman/article/27-kampung-menjadi-negeri-budaya-gombak#sthash.wfKfpS3d.dpuf