Wednesday, 13 April 2016

RUMAH DUNIA PEREMPUAN

1.
Perempuan dan Pasar

Matanya berbinar
dengan pandangan warna warni alam
dari  hijau putik menjadi kuning
bertukar  merah manis
alangkah nikmat memetikmu
meracik meramu hingga tidak jemu
melakukan kerja yang sama
air tangan perempuan
kekal kasih ibu

@ Pasar Air Angek 2011 

2
2.
Sahabat

Kau dengari suaraku - bisik isteri
tatkala bulan  baru ditindih awan
serigala melengkeng dari balik gunung
sikecil kita ketakutan
kau belum pulang , suamiku
telah kuselesai jahitan benang bulu
musim salju luruh di utara
biar kita kepanasan di tropika
hangat belaianmu
di malam ujian
hingga rintihan si bayi
juga nengejuti maya
kau belum pulang juga
untuk selamanya...

@ Madinah 2011


3.
Langit Mendung Pasir Murung

Bukan nyanyian pagi burung lagi
semua terhenti
daunan kaku
ombak bisu
takdir apa yang kau bawa 
wahai pengembara
menuju jalan pulang
tidak juga sampai
ke lorong tuju
berabad lalu.

Helaian kitab kau buka kau tanda
rangkap tentang maut 
nafas tersentak 
tidak kau rasakan lagi kesakitan
 abadi di jazadmu yang rapuh
suara sungai jauh memanggilmu
gunungganang melambaimu
kau cari jalan pulang
bukalah pintu
si anak hilang
kembali ke pangkuan ibu
sebenarnya dia tetap di situ
hanya jasad tersurat di rantau
kau yang tahu
dia tidak ke mana-mana
setia di pintu yang satu

April 2016

PENYELIDIKAN TENUN DAN BUSANA JOHOR

SITI ZAINON ISMAIL : PAKAR RUJUK DAN KETUA PENYELIDIK
TENUN DAN BUSANA JOHOR YWJ 2013-2016
YWJ Perkenal 10 Corak Kain Tenun, Simbolik Penyatuan Bangsa Johor

JOHOR BAHRU, 12 April – Yayasan Warisan Johor (YWJ) akan memperkenalkan 10 rekaan corak baharu kain tenun Johor, yang akan melambangkan permuafakatan dalam kepelbagaian lapisan masyarakat sebagai simbolik penyatuan Bangsa Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, usaha itu adalah antara inisiatif Kerajaan Negeri bagi mengembalikan sejarah tenunan yang menjadi kebanggaan negeri ini.
Usaha ini dilihat membantu dalam memartabatkan kembali seni tenunan Johor, sekaligus menjadi produk baharu yang akan mengangkat warisan negeri ini.
Jika dilihat Johor pada zaman dahulu, wujudnya keakraban di antara masyarakat meskipun dalam keadaan pelbagai perbezaan dan setiap kepelbagaian ini boleh disatukan menjadi Bangsa Johor,” katanya pada sidang media selepas majlis Pra Perasmian Bengkel Tenun Johor dan Anugerah Lensa Johor di Kompleks Yayasan Warisan Johor, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah YWJ, Mohd Shahrin Rahmat; Pakar Rujuk Tenun Johor, Prof Dr Siti Zainon Ismail; Pegawai Analisis Industri Finas, Mohammad Rizal Mat Yasin dan Pengarah Kampus MMU Iskandar Puteri Educity, Akmal Radzlan Mohd Rashid.
Rekaan corak baharu yang akan dipatenkan, termasuklah Songket Johor Jauhar dan Medini untuk Sultan Johor, Songket Johor Maharani khas bagi Permaisuri, Songket Tunku Mahkota Johor, Tenun Johor Tanjung Piai dan Tenun Johor Bercorak Renek bagi rakyat.Tambahnya, penyelidikan mengenai sejarah tenunan Johor oleh YWJ dan pakar rujuk dijalankan sejak tahun 2013 dalam usaha menghasilkan unsur serta corak khusus bagi melambangkan kepelbagaian di Johor.
Sementara itu, mengenai Anugerah Lensa Johor, Zulkurnain berkata pertandingan video pendek yang dikendalikan oleh YWJ dengan kerjasama MMU Iskandar Puteri dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu bakal menawarkan hadiah bernilai RM70,000.
Ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri untuk memupuk minat belia negeri ini, selain menunjukkan bakat mereka dalam pembuatan filem pendek yang dapat mempromosikan keunikan negeri Johor itu sendiri,” tambahnya.
Bagi mereka yang ingin menyertai Anugerah Lensa Johor, boleh layari laman web atau facebook Yayasan Warisan Johor.(JAUHAR, 12 APRIL 2016)

*****
JOHOR BAHRU: Yayasan Warisan Johor (YWJ) akan memperkenalkan 10 rekaan corak baharu kain tenun Johor yang melambangkan kemuafakatan di setiap kepelbagaian lapisan masyarakat sebagai simbolik yang menyatukan bangsa Johor. Rekaan corak baharu yang akan dipatenkan termasuk Songket Johor Jauhar dan Medini untuk Sultan Johor, Songket Johor Maharani khas bagi Permaisuri, Songket Tunku Mahkota Johor, Tenun Johor Tanjung Piai dan Tenun Johor Bercorak Renek bagi rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan, berkata usaha itu adalah antara inisiatif kerajaan negeri bagi mengembalikan sejarah tenunan yang menjadi kebanggaan negeri ini. Katanya, penyelidikan mengenai sejarah tenunan Johor oleh Yayasan Warisan Johor dan pakar rujuk dijalankan sejak tahun 2013 dalam usaha menghasilkan motif serta corak khusus bagi melambangkan kepelbagaian di Johor.

"Usaha ini dilihat membantu dalam usaha bagi memartabatkan seni tenunan Johor, sekali gus menjadi produk baharu yang akan mengangkat warisan negeri ini. "Jika dilihat Johor zaman dahulu, kita melihat wujudnya keakraban, kekuatan dan kekukuhan masyarakat ketika itu dan bagaimana setiap kepelbagaian ini boleh disatukan menjadi bangsa Johor," katanya pada sidang media selepas majlis Prapelancaran Bengkel Tenun Johor dan Anugerah Lensa Johor, di Kompleks Yayasan Warisan Johor di sini, hari ini. Yang turut hadir, Pengarah YWJ, Mohd Shahrin Rahmat dan Pakar Rujuk Tenun Johor, Prof Dr Siti Zainon Ismail serta Dr Norwani Nawawi. Zulkurnain berkata, kegemilangan tenunan Johor akan ditingkatkan termasuk menjadikan tenun sebagai perusahaan industri kecil dan sederhana (PKS), selain melatih belia yang berminat dalam usaha membina tenaga mahir di negeri ini. Katanya, kerajaan negeri merancang mengeluarkan sijil kemahiran daripada yayasan dan Institut Kraftangan Malaysia kepada belia yang mempelajari tenunan.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/142779