Wednesday, 16 March 2016

BERITA KEGIATAN KAJIAN WARISAN BUDAYA - SITI ZAINON ISMAIL

Berita Tengah

May 10, 2007 17:06 PM
Kain Telepuk Akan Diperkenal Sebagai Pakaian Rasmi Ke Majlis Diraja
SHAH ALAM, 10 Mei (Bernama) -- Kain Telepuk iaitu sejenis kain yang sinonim dengan pakaian golongan bangsawan serta merupakan antara busana istana sejak 300 tahun lepas akan diperkenalkan sebagai pakaian rasmi di kalangan pemimpin dan rakyat Selangor pada majlis diraja seperti pertabalan dan pengurniaan pingat.

Pengerusi Lembaga Muzium Selangor Datuk Amzah Umar berkata pihaknya menyediakan kertas cadangan kepada Kerajaan Selangor untuk tujuan itu dan berharap seni telepuk dapat dikenali di seluruh negara kerana nilai estetikanya yang tinggi.

Beliau berkata usaha memperkenalkan itu perlu bagi memastikan kain Telepuk yang diperkenalkan oleh pedagang Bugis pada zaman dahulu tidak hilang ditelan zaman dan dikomersialkan seperti kain songket dan batik yang terkenal di Terengganu dan Kelantan.

"Perkara ini masih di peringkat cadangan dan kita akan menganjurkan satu bengkel diskusi pada minggu depan untuk mengumpulkan cadangan dan fakta yang lebih kuat di mana hasil perbincangan itu kelak akan dibukukan dan dibawa untuk pertimbangan kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas perasmian Pameran Kegemilangan Warisan Telepuk di Muzium Sultan Alam Shah di sini hari ini.

Pameran itu berlangsung mulai hari ini sehingga 29 Julai ini yang bertemakan "Pameran Kegemilangan Warisan Telepuk".

Kain Telepuk mempunyai tiga elemen kraf tradisi Melayu iaitu bertenun, menggerus (melicinkan kain tenunan dengan teknik menggosok atau mengilap) dan tekad menggunakan perada emas (benang) berasaskan acuan.

Ia digunakan secara meluas di Selangor pada zaman pemerintahan Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah, ninda Sultan Selangor sekarang dan Sultanah Tengku Ampuan Jemaah.

Amzah berkata pihak yang berminat juga dialu-alukan untuk membantu menyelidik dan menghasilkan teknologi moden seni telapuk sebelum ia boleh dikomersialkan.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Induk Pameran Kegemilangan Warisan Telepuk Prof Dr Siti Zainon Ismail berkata selain Selangor, seni telepuk turut dipakai golongan bangsawan di Perak dan Kedah serta dijadikan bahan hantaran mas kahwin dan pakaian pengantin keluarga diraja.

Beliau berkata tidak sukar untuk merealisasikan hasrat menjadikan kain berasaskan seni telepuk sebagai pakaian rasmi Selangor, bagaimanapun motif atau coraknya harus berbeza antara keluarga diraja dan orang awam.

"Bagi keluarga diraja, coraknya lebih teratur dan tersusun dan orang awam pula coraknya berterabur," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment