Wednesday, 16 March 2016

NOTA KENANGAN BUAT GURU KAMI ALLAHYARHAM PROF DR P.L. AMIN SWEENY



Maharisi Burung Jerijet
(kenangan buat guru dan sahabat kami, 
Allahyarham P.L Amin Sweeney)

Mahraja Wana (Rahwana)

Nah, kau dengarkan
gemuruh teriak Mahraja  Wana
menggempur awan, menembus malam keramat
‘ haaa, kita serang, kita perang, kita sabil,
Nah kumpul bala tentera, himpun di Singasari ‘
Siti Dewi disandingkan di kolam birahi
Cari, cari
Sikit jalan banyak  berlari
...jong kapal utama...
Sudah menantinaik layar,
kembang layar....
aku Mahraja  Wana

 Kuala Lumpur, 



Malam Pijar


Hei Siti, saya ni, baru sampai dari Cornell
datang, ayuh kita minum kopi ‘

Kuala Lumpur sudah larut. Guru ini tiba dan aku harus menemuinya.
di lobi, dia menanti dengan baju Melayu dan sarung pelekat.

‘ Gila, mereka ngomong bahasa keparat itu meja check inn
sekarang mereka tersenyum malu saya bergaya baju Melayu dengan songkok ini’

Di Jalan Bukit Bintang,
hilir mudik kota metro sudah tidak dikenal wajah
Melayu, Serani, Baba, Mamak, semua sudah cacamerba
mana Langkasuka, Seriwijaya, negeri Burung Jerijet

‘Eeehhh, mana  perempuan Melayu Siti Dewiku?
Semua sudah berwajah baru, mata biru, rambut  blonde
bersuara  tinggi tidak mahu mengalah
dah letih mencari Siti Dewi, hooooh’

Dia masih dalang
menggerakkan patung Serama, Mahraja Wana , Laksamana
dalam impinya  dengan cantik puteri Siti Dewi
Dia masih mencari
bagai Maharaja Wana berjalan balik
ke pulau Langkapuri !

Bercintalah dalang kami
dengan pantun dan syair
berbalas, senyum dan kami menatapnya
cinta Dalang Tua selalu berbunga.


Di Rumah PENA
‘ Hai Siti,
ini dia Siti Dewiku!’

Dik Sastri
kau lebih tahu cinta yang dicari dalang tua kami
dengan bunga kecil selalu tumbuh
tumbuh sebagai bukti
Siti Dewi di hati
dibawanya  pergi
ke jagat abadi .

Ya Maharisi Burung Jerijet
kekasih  manis madu
telah melalui kegelapan  malam
kelopak bunga perlahan terkatup
tinggal tompokan patung sepeti
sepeti roh kasihnya di sisi.

Al-fateha guru dan sahabat kami
Amen Sweeney!

********* 

Murid dan Sahabatmu,
Siti Zainon Ismail
Bandar Baru Bangi

1-9 Januari 2011  

No comments:

Post a Comment