Berita
MADRASAH TARBIAH > MADRASAH PUSAT
KESENIAN 2013
Berita Harian (Sastera) , 28 Jan 2013
Lorong ke Madrasah Tarbiah @ Madrasah Seni Kampung Banda Dalam Jalan Gombak Kuala Lumpur
‘Mengangkat' madrasah sebagai pusat kegiatan seni budaya berkemungkinan janggal bagi sesetengah orang, tetapi itu antara inisiatif Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 1989, Dr Siti Zainon Ismail yang menjadikan Madrasah Tarbiyah, Gombak, sebagai pusat penyebaran ilmu kesusasteraan, kesenian dan budaya.
Pertemuan BH Sastera dengan pengarang, pengkaji seni budaya Melayu, seniman, penyair dan pelukis serba boleh pada program Dialog Santai Seni Budaya di Pasar Gombak, baru-baru ini, merungkai pelbagai inisiatif beliau dalam usaha mengekalkan seni dan budaya, khususnya di kampung halamannya.
Penyair kelahiran Gombak itu berkata, kegiatan yang dilakukan di Madrasah Tarbiyah atau Madrasah Seni itu dimulakan sejak tahun lalu dan menariknya kegiatan seni seperti baca naskhah, pelancaran buku baru, deklamasi puisi dan pameran lukisan diadakan di luar madrasah berkenaan.
"Bukan mudah untuk menarik masyarakat terbabit dalam kegiatan seni budaya, tetapi saya tidak cepat berputus asa. Bagi saya tidak salah madrasah dijadikan pusat pertemuan penggiat seni, selagi ia berjalan dengan baik dan memberi manfaat kepada semua.
Marilah penuhkan buku di Madasah Seni
Perlu sumbangan buku
"Kami turut menyediakan perpustakaan di madrasah ini untuk bacaan orang ramai dan kami juga sangat mengalu-alukan sekiranya ada individu atau organisasi yang mahu memberi sumbangan buku kepada kami," katanya pada acara santai yang turut dihadirinya, Siti Melorinda Khuzaina Sakdudin; Eksekutif Jualan Buku Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), Ainuni Muaiyanah Muhammad Sulaiman; wakil Yayasan Nusantara Melayu Raya (Numera), Umar Uzair dan ahli Madrasah Tarbiyah, Zawiyah Mohd Amin, Mariam Veronica Abu Bakkar Seddek dan Latfy Anuar Latif.
Beliau menambah, pada masa ini beliau bukan saja menerima sokongan daripada penduduk sekitar Gombak, malahan ramai penggiat seni yang mula menyambut pelawaannya untuk menjadi sebahagian daripada keluarga besar Madrasah Tarbiyah.
"Setakat ini sambutan daripada pengarang dan penulis begitu membanggakan, malahan mereka menggemari program yang kami adakan kerana ia dibuat secara santai. Kami juga membuka laman Facebook mewakili gerakan seni yang dinamakan Kerabat Kampung Bandar Dalam.
"Laman itu bagi mengumpul anak jati kelahiran kampung ini dengan matlamat bertukar fikiran, berkongsi nilai sejarah kampung yang besar maknanya bagi kami yang melalui detik awal kampung ini dibuka sehingga ke hari ini dengan fasa pembangunan begitu pesat di sekelilingnya, sekali gus boleh didokumentasikan untuk tinggalan anak cucu," ujarnya.
Sumbangan besar Dr Siti Zainon dalam menterjemah sejarah kampung halamannya itu terserlah menerusi buku yang bakal terbit, Rumah Waris Uwan: Membaca Peta Kuala Lumpur 2020 dan dijadualkan berada di pasaran dalam masa terdekat.
Naskhah sejarah kampung oleh Siti Zainon Ismail > KASIH BONDA KAMPUNG PAYA KAMI, DBP 2010.
Buku terbitan ITBM itu menceritakan sejarah lampau kampung yang sudah berusia lebih 150 tahun itu, keindahan, kenangan sepanjang menetap di situ sejak kecil dan kegusarannya apabila mendapat tahu kemungkinan nilai sejarah itu tidak dapat dikekalkan, lantaran rancangan pembangunan yang bakal dilaksanakan di situ.
"Buku ini bukanlah naskhah biasa kerana ia dekat dengan saya dan ia menunjukkan betapa saya sangat mencintai kampung halaman yang meninggalkan seribu pengalaman berharga. Apabila mendapat tahu kampung saya turut terkena tempias pembangunan, saya kecewa dan berdoa agar ia tidak berlaku. Segala keresahan itu diterjemahkan dalam karya ini," katanya yang turut memberitahu pelbagai gambar menarik terutama rumah tradisional yang masih bertahan di kampung halamannya turut diabadikan dalam buku itu.
Pada masa sama, Dr Siti Zainon juga rancak mengumpul rakan pelukis bagi turut serta dalam projek terbarunya dalam menghasilkan buku dilengkapi lukisan pemandangan indah, rumah tradisional dan semua yang ada nilai budaya, 100 Lukisan dan 100 Nota.
"Selain sibuk mendapatkan kerjasama pelukis yang ingin turut serta dalam projek ini, saya cuba mendapatkan semula gambar menarik daripada penduduk kampung untuk dilukis kembali dan akan disertakan dengan catatan atau nota yang menceritakan mengenai lukisan berkenaan.
"Setakat ini, antara pelukis yang memberi persetujuan untuk tampil dalam projek ini ialah Aris Aziz, Ismail Kadir dan Abu Seman," katanya yang turut memberitahu karyanya itu adalah kesinambungan daripada naskhah terdahulu, Kasih Bonda terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (2010 DBP).
Pelukis yang banyak mengikuti kegiatan Madrasah Tarbiyah, Aris Aziz atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Aris, berkata mereka turut merancang untuk mengadakan pameran lukisan berdasarkan buku 100 Lukisan dan 100 Nota sebaik saja naskhah itu berada di pasaran.
Pameran lukisan
"Lukisan juga satu saluran seni dan kita sepatutnya menjadikan ia sebagai kegiatan bermanfaat terutama untuk generasi muda. Kami mungkin akan mengadakan pameran lukisan ini di Madrasah Tarbiyah supaya lebih ramai anggota masyarakat menghargai nilai budaya bangsa dengan melihatnya dari kaca mata pelukis," jelasnya.
Sebelum mengakhiri bicara, Dr Siti Zainon berkata, beliau kini sedang gigih mendapatkan sokongan penduduk Gombak bagi membudayakan Pasar Gombak sebagai satu lagi pusat seni budaya, sekali gus memberi nilai tambah kepada pembangunan industri seni di negara ini. Sebahagian daripada keluarga besar Madrasah Tarbiyah. ***********************************************
ANAK ALAM 1974-1984
IMLAN ADABI
No comments:
Post a Comment