Thursday, 14 April 2016

BILA PENA BERKATA - TINTA BERSUARA

                                      Lakaran warna kehidupan                                                  


BILA PENA  BERKATA  TINTA  BERSUARA

1. Idea

TAKDIRLAH menjadikan saya suka melakar dan sekaligus  menyusun abjad jawi  dalam lakaran sejak berusia lima tahun.Lakaran awal hanya kerana suka bermain di tanah dan me gumpul batu sungai dan pasir di tangga depan rumah.Inilah peralatan awal sebelum saya berkenalan dengan 'papan batu dan kalam'.

Suara Abah juga kerap melantun-lantun Azan, qasidah berzanji dan hafalan al Qu'ran di rumah kami di Kampung Paya (sekarang Kampung Banda Dalam).Melakar pasir dengan lidi, dan mula meniru bunga jahitan sulaman Mak, merupakan titik mula saya kerap membanyang cerita apa yang digambar. Ada garis anak kucing,   belalang bersambut dengan riuh rendah ayam dikejar  angsa di bawa rumah.Barangkali itulah pandangan yang memberi rasa gambaran untuk bercerita dengan nenek .Nenek pun bercerita juga. Ya sungguh sejak kecil saya sudah menyimpan beberapa cerita dari Nenek Alang; daripada judul Puteri Bungsu, Gergasi Lidah Panjang hinggalah      mengenal watak Si Tanggang tiap kali melintasi Gua Batu di Batu 6 Gombak (sekarang dengan mudah saja sudah di sebut  Batu Cave...Kenangan ini kerap terapung melayang sekiranya saya menemui ragam kenangan yang muncul tiba-tiba berada di ruang nyata....Di sinilah  idea bermula. Di sini kerap saja terbuka buku nota kecil yang kerap kulakar : garis dan bentuk yang membayangkan watak yang  timbul di benak ingatan.Watak dan peritiwa pun muncul di kilas pandangan..inilah yang secepat menggerakkan emosi untuk menggarap yang dibayangkan oleh peristiwa nyata, sejarah sedikit imaginasi...dan kalau  dulu,      laman berpasir menjadi bahan saya melakar , sekarang tentu saja saya amat menyayai buku kecil, buku lakaran sebagai diari yang menghimpun kenangan dan cerita yang dikutip di setiap perjalanan.

2. Tempoh Penulisan

Sebagai pekerja di rumah kerajaan, saya harus  menumpukan kerja rasmi, sebagai,tutor, pensyarah,penyelidik, penceramah undangan semuanya melibatkan kerja menulis dan membaca. Kerja akademik memerlukan kami mengutip dan menyelongkar  ilmu sesuai dengan kepakaran kami .
 Tentu saja ada perbezaan antara tulisan laporan kajian, kertas kerja dan pengajaran...di celah-celah kesibukan  saya harus mencatat di buku harian yang sudah bertahun menjadi sahabat setia di mana saya berada. Kalau tidak melakarpun, saya harus mencatat : tentang tempat  peristiwa yang berlaku ketika itu. Malah watak-watak yang muncul umunya hampir lebih 60 % adalah nyata.....catatan itulah menjadi data apabila mula menggarap tulisan. Ini semua tidak terikat dengan waktu.  Perkataan dan ayat boleh saja terlantun di mana saja saya berada. Dalam bilik mesyurat yang riuh  juga , di              pasar  memilih cili merah cili hijau apalagi bila hidangan di meja - adalah ruang lapang yang berlegar cerita di                   hati, di kepala dan semua situasi itu ingin melompat keluar. tempoh waktu penulisan tidak menentu.terutama cerpen dan Novel. Malah oleh perasaan marah dan kecewa dengan sikap seseorang , boleh mematahkan semangat untuk meneruskan tulisan itu. Jadi ada manuskrip Novel sudah  200 halaman ...tidak saya buka failnya.

Bahan rujukan data ilmu, sejarah dsb

3. Inspirasi  & 4. idea

Sumber inspirasi saya umumnya ialah hasil pembacaaan buku sejarah, agama,  bahan koleksi seni budaya yang harus saya gali di manapun berada. Untuk menulis latar dan tempat, wajar sekali untuk tidak menyelewengkan fakta. Apa lagi bila memerikan watak penari India, penyair  yang menggilai Tagore atau watak dalam cerita rakyat watak penggesek rebab Wayang Kulit, di depan mata saya ialah Pak Hamzah Mat ataupun Pak Ayob Ismail. Memang saya mudah terharu akan kesedihan orang yang berhadapan, resah , sedih mereka selalu mendorong saya untuk menyuarakan  kesedihan  mereka. Watak Laila di Bukit Gombak, Si Jundai di Ranah Minang, Kepada Perempuan Laut, merupa watak yang kerap terjelma di depan mata. Kadang derita mereka adalah deritaku. Saya ada  pena..pena inilah kembali menutur kata dan tinta menjadi suara mereka. Merekalah menjad inspirasi dan menjadi sumber untuk saya terus menggali dan mengumpul idea yang cepat berkembang dalam tulisan.


 Mengkaji seni lukis di galeri di Venice 2013
Melakar di depan muzium di Venice 2013

5. Mood

Mood menulis sajak lebih cepat dapat saya lakukan di tempat yang tenang.di dalam galeri, muzium termasuk halaman terbuka, orang lalu lalang menuju ke surau masjid. Itupun setelah memendap gelora idea begitu lama. Saya bukan menulis terus jadi....banyak buku catatan masih terapung tidak terselesai. Ada waktu dan ketika membuat saya lancar menulis, terutama bila mendapat data yang tepat, bukan ilusi dan imagilasi lagi. .Watak sejarah dapat saya temui kalau memang berada di tempat watak sejarah itu berkubur seperti Amir Hamzah ketika saya tiba di pusaranya   di Langkat. Seri Padma watak perempuan yang setia sesuai dengan mitos di Candi Prambanan.  Begitu juga ketika menghampiri rumah awal Nabi junjungan kita  Muhammad SAW, membuak gelora kasih yg terbayang ialah Ibunda Rasul.  Tempat sejarah atau bahan bacaan mencepatkan saya seakan ilham mencurah datang. Ini terjadi ketika saya tiba di Malam Bulan di Taj Mahal juga, terutama latar sejarah terlebih dahulu memberi sumbngan ilmu. Mood cepat juga mengendur kalau saya tidak membaca kembali nota lakaran yang 'tidur' dalam buku nota.

6. Gaya dan Proses

Saya tidak mempunyai penulis idola yang nyata. Zaman sekolah hanya belajar beberapa sajak saja. Belum ada tulisan esei tentang penayir dan penulis yang dapat saya ikuti.  Tapi lebih awal  berkenalan dengan Penyair Firdaus Abdullah dan Atondra dalam  Persatuan  Gabungan Pelajar Melayu Selangor- Semenanjung, mendengar Firdaus membaca sajak.
Ayah Dee pula membawa wartawan A Samad Said ke rumah kami di Batu 4  1/4 Jalan Gombak. Tapi saya belum berani menyapa beliau. Tiba di Indonesia baru saya berhadapan lansung dengan Penyair WS Rendra, yang kerap juga diundang dalam kelas di ASRI. Jadi buku-buku beliau sudah dikumpul seperti Nyanyian Angsa, Sajak-Sajak Sepatu turut mengintai latihan teater  di halaman rumahnya... , " Dik Narti" , Paman Domblang sudah mengalir dalam bait-bait  puisi imaginasi...sehingga saya berani menulis sajak segala nada romantis WS Rendra ketika jatuh cinta dengn Dik Narti.

7. Projek terbaru

Merapikan dua judul manuskrip : 1) Novel Patimadora dan 2) Kembali Puisi Bumi Al Aqsar. Kedua-dua manuskrip ini tergendala lantaran terganggu dengan peristiwa tidak terduga. Insya Allah, siri puisi bulanan terbitan Dewan Sastera: Puisi  Busana Ratu , Puisi warna Ceruk Rantau akan dirapikan untuk terbitan mendatang. kajian Seni Tenun Johor juga sedang disunting untuk terbitan akhir tahu. Insya Allah. Penulis hanya merancang, keizinan terbit daripada  Ilahi juga... Insya Allah, doakan saya tidak alah dengan godaan tipu helah yang bersungguh menyokong terbitan tetapi menghilang saat manuskrip  hampir selesai di sunting. Inilah  takdir hidup penulis?  





No comments:

Post a Comment