KUMPULAN PUISI
WITIR SELA MERAPI (Galeri Melora 2004)
PETIKAN KAJIAN A.RAHIM ABDULLAH, TINJAUAN ROH DAN RETORIKA' DALAM PUISI SITI ZAINON ISMAIL.
Kumpulan Witir Sela Merapi memuatkan 45 sajak yang terhasil di Jawa dihiasi gambar foto, gambar lakaran/sketsa dan bahagian akhir dinamakan " Foto Jejak Seni" . bahagian 1, puisi dinamakan " Perawan Bulan Yogya" (Puisi Pilihan 1970-an) Bahagian 11, "Jenang borobudur" (Puisi pilihn 1980-1990an) dan bahagian 111, "Witir Sela Merapi: (puisi yang dihasilkan sekitar tahun 2000-2003)
Karya pertama yang akan disentuh ialah puisinya yang bertama dalam buku ini, bertajuk "Karangwuni". Barangkali inilah karya pertama sesampainya Siti Zainon di kota budaya itu. Puisi ini dihasilkan pada 18 Disember 1969, bersamaan hari lahir penyair yang ke 20 ketika itu. Berada di rumah atau di pemondokan seorang seniman yang sangat mempesonakannya (rumah Kartika, anak pelukis Affandi), disambut sapa keluarga/Kau bawa usia pertamaku/memasuki pintu luas... pasti meninggalkan kesan impresi pertama yang sangat dalam kepada Siti Zainon. Sentuhan awal atau semacam satu sumpah setia dalam dirinya, bahawa aku harus tumbuh sebagai seniman/pelukis besar juga suatu hari nanti. Diperturunkan sepenuhnya sajak "Karangwuni" ini :
Inikah rumah saksi
disambut sapa keluarga
Kau bawa usia pertamaku
memasuki pintu luas
jendela ukir masih berjeriji
di perayaan hari jadi
terhidang uji
aku harus tumbuh
di sini!
Pertanyaan retorik terjadi sebagai akibat impresif pertama seseorang: "Inikah rumah saksi" dan untuk menunggu jawapan itu , tentu sahaja memakan masa puluhan tahun sebagai bukti keberadaan penyair sehingga kini . Jadi pertanyaan itu boleh dilihat sebagai perhiasan gaya retorik yang tidak perlu pada jawapan, tetapi sekadar ekspresi seseorang yang tersentuh hati nuraninya. Tentj sahaja hari lahir seorang siswa negara Malaysia yang berada di rantau orang itu akan menjadi ingatan dan kesan yang sukar dihapuskan.
Sajak ini memang boleh dianggap sebagai puisi kesaksian Siti Zainon untuk bangkit dan tumbuh menjadi penyair tersohor Malaysia, dan rantau Nusantara 20 tahun kemudian. Seperti dirancang dan memang sudah ditakdirkan, Siti Zainon rupa-rupanya terpanggil untuk menerima Anugerah SEA Write di Bangkok pada tahun 1989, dalam usianya menjelanga 40 tahun.
Penantian jawapan 20 tahun lalu terjawab juga pada 10 November 1989, apabila dia datang kembali ke Yogya. Sajak yang bertajuk " Yogya 89" (termuat dalam kumpulan Kau Nyalakan Lilin, 1990)dapat menjawab, malahan menjelaskan lagi segala kenangan masa silam penyair selama berada di kota seniman dan budya itu.Penemuan kembali diri yang hilang? Penyair yang melukis dirinya di Pasar Sapi, binatang, haiwan, pohon dan alam sekitarnya yang hening dan terus utuh kembali menjelma. Semuanya pertanyaan retorik. Segalanya terjawab secara penuh berhemah menerusi paparan kalimat dan ungkapan seperti berikut:
Gapura yang dulu
kukuh, putih abu-abu
beringin dicantas
berpucuk hijau muda
detak pedadi lenguh sapi
derap kuda malam
sungai diriku yang keruh dulu
kutemui lagi
berkerikil bersih
angin menyapu kebun debu
masih kuingat penyair lama
membentuk lukisan dirinya
kembali tampil
di pasar tersembunyi.
.....Pelajaran masa silam tentang budaya Jawa, seperti tarian tradisional dengan Pak Bagun Kusdiharjo, mengintai latihan teater Rendra dan bersama-sama kumpulan seniman para pelukis Yogya, akan kita temukan dalam jumlah puisinya yang relatif banyak itu.
.....Nama Ranggawarsita dalam kalangan masyarakat Jawa bukan sesuatu yang asing kerana tokoh ini sudah menjadi legenda yang terus dicerita oleh pencipta seni budaya Jawa . Ini juga membenih dan tumbuh dalam diri Siti. Dia turut mengutip amanat Ranggawarsita, tetapi dengan gaya retorika yang lain, bahkan lebih mengesankan. Hal ini terdapat pada puisi " Sajak Anak Gunung" yang dihasilkan pada 21 November 2003. Ada monolog dan dialog :"aku" dengan "kau" terjadi dirakamkan penyair dlm resah pencararian- rasa kehilangan sesuatu yang amat dihargainya pada masa lalu? Adakah semua ini terjadi kerana berlakunya fenomena? Kata,"merah mekar hangus/ditenggelami lahar/rumput hijau berbaur hitam/batu-batu menerjang ", membayangkan fenomena letusan gunung berapi atau gempa yang sering terjadi sekitar Yogyakarta....
Gunung Merapi sangat dekat dengan hati nurari penayir , sepertipenduduk Yogyakarta sendiri ...(kesan letusan itu, Edit) ditulis penyair " dunia semakin edan/tapi anak gunung/setia menebar benih/antara permatang di lereng/di situ bercambah ilmu/melimpah restu'. ...'Siti yang terdidik dalam budaya Jawa dan latar budaya Indonesia yang luas itu memperlihatkan keragaman gaya bahasa kreatif serta mampu mencernakan pengalaman budaya sebagai hasil seni kreatif secara optimum.
.....Kesen intelektual dan moral terkumpul pada bait seperti berikut:
Aku datang bergerah lama: kebun jipang/kembang labu air/rengkek kuda dinihari 'ada yg nggender; entah pesinden mana; aku di lembanrnya/mengutip amanat Rangga/'dunia semakin edan'. yang menaru makam itu/suara jauh dari syurga.
Berdasar teori Barthes mengenai odep;ogi dan konotasi serta kesan semiotk pragmatig berdasarkan pandangan de Saussure, maka dapatlah dikatakan bahawa daya kreativit Siti Zainon berjaya menghasilkan puisi dengan pemakaian sarana-retorik yang menjadi penanda kemandiriannya yang penuh kelembutan.
Kod budaya itu pula menjadikan rujukan ilmu atau lembaga pengetahuan yang boleh dikongsi bersama pembaca. Rasa dan jiwa, serta kesan moral dan intelektual penyair itu juga mampu menjadi
konotasi makna yang bersandarkan kod budaya, sistem retorika Melayu dan budaya Jawa yang dialaminya. Dengan ini, kita wajar meletakkan Siti Zainon Ismail sebagai penyair wanita Malaysia terpenting untuk dekad 1980-an hinggi kini .
***Esei asal berjudul " Roh dan Retorika dalam Puisi Siti Zainon Ismail"
( Dewan Sastera, Disember 2011:37-31). Disampai ucapakan Terima Kasih
kepada Tuan Haji Abd Rahim Abdullah kerana kami menggunakan esei kajian ilmiah ini
sebagai rujukan para pelajar Retorik Penulisan semester 11 2015/2016***
No comments:
Post a Comment