Menggelumangi Sastera
Terpanggil untuk menyaksikan bagaimana sastera dibudayakan dalam masyarakat apalagi tokoh-tokoh yang terlibat tak lain, antaranya, SN Muhammad Haji Salleh yang melancarkan buku-buku tokoh yang menunjangkan program, Profesor Dr. Siti Zainon Ismail.
Ada beberapa sebutan yang elok kucatatkan, kata-kata SN Muhammad Haji Salleh, yang bermaksud, dalam khazanah kesusasteraan Melayu terkandung banyak kebijaksanaan bangsa Melayu, dan Siti Zainon Ismail telah mencungkil sebahagiannya seperti dapat dilihat dalam karya-karya beliau. Siti pula, ada menyebut kata-kata Amin Sweeney, bermaksud, Siti Zainon Ismail telah memperihalkan Makyung sebagaimana yang ditunjukkan oleh Khatijah Awang, sampai beliau terangkat menjadi Prof. Madya.
Dan, satu lagi kata Siti, adalah baik sarjana berpuisi kerana karya itu termuat ilmu! Barangkali tokoh itu boleh menurunkan sebutan yang lebih tepat atau sebenar.
Aku balik dengan lebih mengenali tokoh, yang mengikut SN Muhammad Haji Salleh perlu “kita jaga” ini!
Kagum juga dengan keprihatinan Adun Kuala Kubu Bharu, YB Lee Kee Hiong kerana bersedia menyokong program sedemikian di kawasannya
PUISI MALAYSIA DI RUSSIA
SZ ISMAIL - Jurnal Melayu, 2008 - ejournal.ukm.
Abstract Sejak dari dulu penyair berkarya oleh aneka pengalaman kehidupan. Jiwa dan
minda menyatu diolah lewat kepekaan berhadapan langsung dengan peristiwa serta latar
sejarah budaya. Keghairahan berkarya pula
Ismail, Siti Zainon. "Puisi Perjalanan: pengalam penyair Malaysia di Rusia."Jurnal Melayu 3 (2008): 115-140.
| |
Bayangkan anda berada di Taman Rahsia di musim bunga
tiba-tiba anda disambut dengan tiupan serunai dan tropet
lagu "Negara ku"
getaran pagi
puisipun bergururan dan sedu rindu o tanah airku..
"Muzium Metro Moscow'
Tiupan trompet akhir melantun
gerak gerabak melaju
tiba di pintu
kau jenuh menatap
lakaran dan lukisan
wajah serius menjeling!
Antara curiga politik dan ramah seni
mereka memilih cinta dari rumah seniman
di celah jambatan empat puluh
Danube biru memberi bisikan birgozka
lagu rindu Tolstoy
dan puisi sayap Puskin.
Di depan tangga atas
ke stesyen jauh di bawah tanah
masih berterbangan janji berzaman
puisi citna mendamaikan dendam
luka perang dilipat ingatan.
Metro Arabat, Moskoba
29-30 April 2004
*****
Pantulan 40/15: Sajak Siti Zainon Ismail “Suaraku Sedingin Musim Salju” - Datuk Ahmad Said
15 Ogos 2015
Pantulan 40/15: Oh Nusantara
Salah satu judul buku yang mencuri pandanganku pada awal pagi tadi ialah, “Alangkah Indahnya Salju”, (Antologi Pemenang Peraduan Menulis Puisi dan Cerpen Pelbagai Kaum 1”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005, cetakan kedua (cetakan pertama, 2003).
Dan amat kebetulan pula, dalam belekan rutin Dewan Sastera hari ini, melintaslah aku, “Puisi Pilihan”, Dewan Sastera, Februari 2004 yang memuatkan lima buah sajak yang agak panjang, setiap satunya, karya teman fbku yang tak henti-hentinya berkarya, Profesor Dr. Siti Zainon Ismail. Aku memilih “Suaraku Sedingin Musim Salju”, demi mencungkil kelainan latar bersajak penyair-penyair tropika. Dan tidaklah aku tersalah pilih, kerana sajak ini merakamkan keluhan rasa seorang sarjana yang amat cinta terhadap kesusasteraan Nusantara, Boris Parnikel, oleh penyajak yang terbukti cekatan.
Bahawa melalui karya-karya cipta agung yang mengumpulkan khazanah kreativiti dan intelektual bangsa, bukan sahaja anak-anak bangsa yang mendapat manfaat bahkan seluruh dunia meraehnya sama. Telah terbukti, kita sendiri banyak mempelajari dan mentafsir makna terpendam karya-karya warisan setelah mengkaji penelitian cendekiawan yang jauh di lautan seberang. Sudah kita ketahui, bahan-bahan manuskrip kesusasteraan dan keagamaan menjadi koleksi di perpustakaan-perpustakaan di merata-rata dan sampai kini ia tak habis-habis dikunjungi demi menggali mutiara peradaban zaman sebelum kita dibelenggu penjajahan. Mujurlah kita tidak sentiasa dirundung malang. Sajak ini adalah kenangan berbaur kehangatan terhadap persuratan nenek moyang kita zaman silam.
Para sarjana itu, bahkan telah menjadi pembantu-pembantu yang dihormati dan dikagumi kerana kedalaman ilmu dan keberhargaan sumbangan mereka yang tidak ternafikan. Betapa kesalnya, sarjana ini apabila tidak mampu lagi menyambut mesra penuh beracara rakan-rakan sebidang pengkhususan yang datang bertanya khabar, oleh sebab usia telah tidak lagi mengizinkan. Tetapi dalam ketakupayaan oleh ragutan usia, temanku menghasilkan kalimat bererti yang menepati tentang pendirian para ilmuan handalan, “cinta kasihku tetap bersemi di hati”. Sungguhlah, kita yang perlu mengeluh, kerana kita sendiri tidak mendukung tinggi khazanah minda bangsa.
******
SITI ZAINON ISMAIL
Sajak kesan Mengunjung Prof Boris Parnikel di Moskow , 2003


******
SITI ZAINON ISMAIL
Sajak kesan Mengunjung Prof Boris Parnikel di Moskow , 2003



Pantulan D/2/24/2016: Keharuman bumi
Yang dikesali Siti Zainon Ismail, lewat “Taman-taman yang Hilang”, Dewan Bahasa, Mac 1978, muka surat 202, tidak perlu tafsiran. Cerahnya tak payah bersuluh lagi. Tetapi mesejnya tetap sama, sebaru 38 tahun yang lalu.
Aku pernah tinggal seketika diharumi bau kenanga, cempaka dan sundal malam. Seminggu dua ini, kenanga yang ditanami jiran mulai meletuskan keharumannya. Menyerbu ke laman rumahku. Bunga sundal malam yang ada di lamanku pun menyembulkan semula bunga yang baru. Harumannya yang terbukti itu akan datang lagi, bahkan akan menjadi hiasan di meja sendiri. Kesenian susunan dan kewangian yang menyenangkan. Semuanya membuktikan alam seharusnya dilestarikan.
Kalau Siti memilih burung, embun dan unsur-unsur alam kita tidak ada sikap lain menyatakan pendirian kecuali serupa beliau, mempersetujukannya.
Hidup ini diakui sementara. Kita harus menyedari untuk akhirnya pergi jua. Tetapi ketika sedang berada di sini kita mahukan keselesaan dan kesejahteraan. Ia boleh hadir dengan penggemblengan sempurna kesemuanya.
Menutup pantulan aku rela meminjam “desah bertumpuk di tiang hitam”. Semoga, sambil sanubari menikmati jambangan puisi, pemusnahan yang berleluasa terhenti dan kehidupan tidak tergendala, sebaliknya selangkah dengan kemajuan hakiki.
Ahmad Said
Pantulan E/01/1/2016: Menarah sejarah
Ada sajak lain telah kuselesai memantulnya dan sewajarnya didahulukan pemaparannya. Oleh sebab-sebab ‘teknikal’ sajak berkenaan kusimpan dahulu. Maka, sebagai membuka pantulan 2016, kupilih sajak Profesor Dr. Siti Zainon Ismail, “Nisan luka”, Dewan Sastera, Mac 2002, muka surat 88. Sajak ini menghiris.
Dari segi suasana, terakam gambaran yang tidak bermaya lagi melumpuhkan di persada negara. Dari segi watak-watak, menyerlah semuanya yang telah menjadi “arwah”. Tetapi yang sangat-sangat menggangguku ialah menonton “Kitab sejarah telah dibakar”, langsung memaparkan keterbiaran akan perkara-perkara asasi yang membangunkan mercu tanda, jati diri, tugu atau bukti-bukti kebaktian para pejuang masa silam, sedangkan merekalah yang merealisasikan cita-cita bernegara. Bahawa pengorbanan (darah, penderitaan) rupa-rupanya bukanlah sentiasa dihargai walaupun hasil perjuangan itu dinikmati oleh anak cucu mereka. Maka, kalau begitu di manakah harus kita meluahkan perasaan akan ketidakberhutangan budi/bakti/jasa para pewaris yang memalu serentak memilukan itu? Setiap orang tentu boleh memberi pandangan masing-masing. Tetapi untuk meletakkan simbol dan penghargaan setimpal kepada para pejuang terhadap satu bentuk sumbangan abadi mereka kepada tanah air, tentulah pihak yang berwibawa atau berwewenang terpikul tanggungjawabnya. Apabila tanggungjawab ini diabaikan, maka tiadalah lagi pihak lain boleh dan mampu mengambil alih, kerana keterbatasan yang nyata. Bukankah demikian mewajarkan kita mengisytiharkan ini sebagai suatu tragedi? Suatu kegagalan akibat kejahilan lantaran tertutup minda terhadap sejarah perjuangan mengangkat martabat bangsa menjadi kembali bermaruah!
Sajak ini pendek. Tetapi pendek yang menyenangkan. Sebabnya, setiap baris daripada 14 barisnya puitik belaka tambah lagi judulnya, menjadi 15 baris. Bacalah pula sendiri! Kemudian, rangkap pertama mencengkam rasa. Dalam kepayahan mengalami, masih mampu “mengutip pesan para arwah”. Titik rasaku, lagi-lagi tertinju oleh “Setelah surau semakin sepi/Tambak kering/Panen udang tidak menjadi.”
Aku lagi mahu memetik, tetapi kerana kependekannya bimbang nanti semuanya diulang-ulang sedangkan teksnya juga kupamerkan terang-terangan!
Tetapi, ya, sajak ini boleh berhenti dengan serangkap itu. Perutusan Siti tentang episod malang itu tetap tertanam jua. Bertuah aku, kerana tambahan serangkap tiga baris itu telah menyempurnakan riwayat menyayat ini dengan pemerian berharapan terlampau menggetirkan. (Aku teringat terserempak dengan nama “Mardhiah” dalam Siti Zainon Ismail, “Perjalanan Gelumbang Rayeuk”, Dewan Sastera, Julai 2005, muka surat 84-85 (tentang Tsunami). Ada tertulis “Mardhiah, si kecilku yang setia menunggu di teduh pohon kekuda di pantai Lamgha!”
Ah! Kalaulah setiap hari terbelek sajak-sajak begini alangkah bererti meneliti puisi!
(NOTA: Ruangan “Puisi Bulan Ini”, Dewan Sastera, Mac 2002 memuatkan 16 buah sajak. Ada ulasan ringkas, seperenggan empat ayat, terhadap sajak “Nisan luka” olehZurinah Hassan, “Perjalanan Mencari Kebenaran (Analisis Puisi Dewan Sastera, Mac 2002)”, Dewan Sastera, April 2002, muka surat 73-75.)
No comments:
Post a Comment