Sunday, 28 February 2016

MENUNGGU PELANGI


SALAHKAH LANGIT
TIDAK MENGGUGURKAN HUJAN
AWAN TIDAK MELINDUNGI MENTARI
JANGAN TUNGGU AKU - UCAP PELANGI
KALAU AKU PERGI
SIAPAKAH MENCATAT 
HARI , WAKTU JAM DAN DETIK
AKU SINGGAH DI HUJUNG CEMARA
TIADA SIAPA MENYAPA !

YA ADA TERPUKAU
MEMUJI LAPISAN SELENDANGKU
BERLAPIS
DAN SETELAH BERLALU
SEORANG SENIMAN PUN MENCATAT 
DALAM SAJAKNYA
PEREKA TEMBIKAR MENEBUK 
LUBANG BERBUNGA
MENJEMPUT AKU
OOH PELANGI
KE SINILAH.

SELEPAS HUJAN
BERSAMBUT  KELAM MALAM
DRAMA PELANGI 
TIDAK DISAPA LAGI
BERLALU
BERHUNJUNG
SENDU.


DAN  KITA PEREMPUAN 
SI PENUNGGU  PELANGI
SEBELUM HUJAN
MASIH KAH DI SITU


REDUP PADANG
28.2.2016

\







Friday, 26 February 2016

ULUSAN BUKU BIJAK SI KATAK BIJAK

Ulasan Ini Dikarang Bagi Peraduan Ulas Buku ITBM 
Di Blog / Facebook
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012
Oleh : Marini Binti Azahri
Emel : marini.azahri@gmail.com / srikandi_jilbab@yahoo.com

Tajuk Buku : Bijak Si Katak Bijak
ISBN : 978-983-068-878-7 
No Resit : ITNM000965

*****

“Katak bijak? Hmm, biasanya dalam cerita-cerita rakyat melayu, Sang Kancillah yang sering digelar bijak tetapi kali ini katak pula,” demikian desis hati saya tatkala mata digamit sebuah buku putih bersih, di kulit hadapannya dilukis seekor katak hijau, dan pada bahagian atasnya tertera tajuk “Bijak Si Katak Bijak.”Sesiapa yang melihat buku yang comel itu tentu dapat mengagak bahawa buku itu adalah buku untuk kanak-kanak. Terpamer cantik di rak utama gerai Institut Terjemahan dan Buku Malaysia atau singkatannya ITBM, saya pasti ia terbitan terbaru ITBM bagi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tahun ini.

Langkah saya terhenti di hadapan gerai ITBM. Nampaknya hasrat hendak ke gerai buku lain terpaksa dibatalkan kerana Bijak Si Katak Bijak yang ternampak dari jauh itu pula terlebih dahulu mencuri perhatian. Tiba-tiba mata saya menangkap nama pengarangnya yang tertulis elok di atas tajuk buku tersebut.


Siti Zainon Ismail!

Wah, siapa yang tidak teruja melihat nama yang terkenal dalam dunia sastera itu? Siti Zainon Ismail adalah penulis, penyair, dan pelukis yang tidak perlu dipertikaikan lagi kehebatan bakatnya. Pastinya sasterawan yang sering menggondol pelbagai anugerah sastera ini punya sebab tersendiri mengapa tiba-tiba sahaja memilih katak, binatang yang jelik dan menggelikan sebagai simbol kebijaksanaan dalam buku tersebut.

Sang Kancil yang bijak terus lenyap dari minda dan tanpa lengah, saya bergegas ke arah Bijak Si Katak Bijak. Seorang petugas yang ada di situ bagaikan sudah lama bersedia menanti kedatangan saya, kerana sebaik sahaja saya mencapai Bijak Si Katak Bijak, petugas itu terus berkata, “Ini buku puisi bergambar untuk kanak-kanak, puan. Karya terbaru Siti Zainon Ismail. Baru terbit tahun ini, cetakan pertama 2012!”

Ya, memang saya sudah lama berminat mengumpul buku puisi kanak-kanak bagi dijadikan bahan bacaan dan rujukan. Selepas terpesona dengan Rindu Ibu daripada A.Samad Said, saya berniat mahu berjinak dengan karya-karya hebat Siti Zainon Ismail pula dan hari ini, tuhan bagaikan mengabulkan permintaan saya dengan munculnya Bijak Si Katak Bijak!
 Saya belek teliti buku itu. Saiznya selesa dipegang dan tebalnya 107 halaman. Konsep kulit bukunya menepati kategori sasaran pembaca. Di bawah tajuk Bijak Si Katak Bijak, dilukis seekor katak hijau yang comel, ada dua kuntum bunga di atas kepalanya, dan sedang tersenyum manis pula. Oh, jika gambar katak betul diletakkan di situ, bukan sahaja saya tidak akan tertarik, malah geli pula hendak memegangnya. Saya ini, jika sudah geli kepada binatang, jangankan memegang, memandangnya sahaja saya sudah rasa geli-geleman.

Saya amati kulit belakangnya pula. Nombor ISBN 978-983-068-878-7 dan apabila melihat harganya, saya tersenyum. Tiga puluh ringgit, masih di bawah harga mampu milik. Apatah lagi dengan diskaun sebanyak dua puluh peratus, lebih-lebih lagi ia mampu dimiliki.
 Pulang dari Pesta Buku, saya singgah di Meals Station KL Sentral. Bertemankan secawan cham kegemaran, tanpa rasa geli saya bedahBijak Si Katak Bijak satu-persatu.


Aduhai, ternyata Bijak Si Katak Bijak adalah sebuah buku puisi kanak-kanak yang memikat, dengan empat bab puisi yang menyeronokkan iaitu Mari BelajarKerja HarianMari Gendang, danCerita Rakyat. Uniknya buku ini berbanding dengan buku puisi kanak-kanak yang pernah saya baca adalah kerana persembahannya. Di setiap mukasurat kanan buku ditulis rangkap-rangkap puisi, manakala di setiap mukasurat kiri pula dilukis gambar katak bersama puisi yang sama dengan tulisan jawi. Tambah memikat, semua katak dalam buku ini dilukis persis gaya orang melayu; memakai baju kurung, sarung, songkok, malah ada yang menari piring dan belajar silat juga! 

Lompat si katak lompat
siapa cepat dia dapat
lompat si katak lompat
mari cepat belajar silat

Demikian berwawasannya puisi pertama yang menyambut saya. Tajuknya Lompat Si Katak Lompat, dalam bab Mari Belajar. Lukisan katak yang penuh seni di sebelah kiri mukasuratnya pula begitu patriotik, kerana ia sedang menjulang bendera Malaysia!

Melalui puisi pertama ini, dapat dikesan hasrat pengarang yang mahu mendidik generasi muda agar mempelajari silat dan menghayati falsafah di sebalik warisan unggul bangsa melayu ini. Idea pengarang menyertakan puisi dalam tulisan jawi pula adalah satu usaha yang patut dipuji. Kanak-kanak yang didedahkan awal dengan tulisan jawi, pastinya lebih menghargai khazanah bangsa yang sememangnya perlu dimartabatkan dan diwariskan kepada generasi-generasi seterusnya ini.Karakter katak-katak dalam buku puisi ini digambarkan dengan penuh sopan dan beradab. Mereka dipotretkan sebagai sebuah komuniti yang bertamadun, beradab, dan bijaksana. Sudah tentu, kerana tajuk bukunya adalah Bijak Si Katak Bijak. Persoalannya, mengapa katak, makhluk pasif yang terkenal dengan bidalan “seperti katak di bawah tempurung” itu menjadi pilihan dan di mana bijaknya katak pada pandangan pengarangnya?

Kata Siti Zainon melalui sinopsis buku ini, walaupun bidalan lama “katak di bawah tempurung” menggambarkan katak adalah binatang yang pasif, namun beliau terfikir katak sebenarnya adalah bijak. Beliau berpegang kepada pesan neneknya, “Katak itu banyak tempurung. Ia tidak tinggal lama di dalam satu tempurung, hanya sembunyi daripada musuh atau berlindung daripada hujan, siang dia melompat lagi. Berteduh lagi dengan mencari tempurung untuk berlindung.”Pandangan beliau itu juga disampaikan dengan jelas melalui puisi bertajuk Rumah Katak, dalam bab Mari Belajar pada halaman 25. Begini bunyinya :

Hujan lebat sekali
katak sembunyi di bawah tempurung
itulah rumah katak
rumah tempurung yang banyak

Lepas hujan katak melompat
jalan dan lompat cari makan
kalau hujan lagi
katak sembunyi di bawah tempurung
untuk berlindung
banyak rumah katak
akalnya bijak.

Begitu halus dan seninya pandangan hati Siti Zainon, sehinggakan sehabis saya membaca semua puisi dalam buku ini, persepsi saya turut mengakui bahawa ya, memang katak binatang yang bijak!Buku Bijak Si Katak Bijak ini berakhir dengan penuh hikmah, melalui puisi yang sangat menyentuh hati berjudul Tanggang Menjadi Batu dari bab Cerita Rakyat. Inilah petikan puisinya :

Ibu tua sedih dan kecewa
Tanggang lupa kasih bonda
hanya kepada Yang Maha Kuasa
ibu mengadu pilu
“Kalau betul Tanggang anakku
tunjukkan kuasaMu Ya Ilahi!
aku ibu yang papa
anakku malu dia lupa
setelah kaya.”

Tiba-tiba awan hitam bergulung
guruh sabung menyabung
bahtera pecah dilambung badai
Tanggang disumpah ibu
menjadi batu dan kaku.

Ternyata Siti Zainon juga bijak menyusun puisi-puisinya, sehingga sebelum buku ini ditutup, kanak-kanak yang membacanya sempat diingatkan bahawa dalam mencari hakikat kebahagiaan hidup, redha ibu bapalah yang paling penting kerana derhaka anak kepada ibu bapa samalah dengan derhaka hamba kepada tuhannya.Pulang ke rumah, saya hulurkan Bijak Si Katak Bijak kepada Khairunnisa, anak saudara saya yang masih belajar di tahun satu. Sambil membelek buku itu, Khairunnisa ketawa sendirian. Apabila ditanya mengapa, jawabnya, “Lucu, katak pun pandai membaca, ya?” sambil dia menunjukkan gambar seekor katak yang sedang membaca buku. Di sebelah lukisan katak itu ada rangkap puisi bertajuk Mari Membaca.Saya membalas, “Jadi, Nisa pun mestilah rajin belajar membaca. Jika tidak pandai membaca, nanti katak itu pula yang lebih pandai daripada Nisa.”

"Eh, tidak mahulah begitu, kita pula lebih bodoh daripada katak!" Balas Khairunnisa, disambung dengan ketawa lagi. Kemudian, dia membaca puisi yang bertajuk Mari Membaca itu di hadapan saya. Tersenyum saya melihat si kecil itu, tanpa tersekat-sekat berjaya menyudahkan bacaan puisinya sekali habis.

Secara jujurnya, saya mengakui bahawa Bijak Si Katak Bijak adalah sebuah buku puisi kanak-kanak yang berjaya. Bukan mudah mahu memikat kanak-kanak agar mencintai puisi tetapi Siti Zainon telah membuktikannya melalui buku ini. Beliau adalah penyair yang tajam naluri dalam memahami jiwa kanak-kanak. Katak yang dipilih sebagai lambang dalam mencapai kebijaksanaan adalah idea yang kreatif kerana sememangnya tabiat kanak-kanak mudah tertarik dengan binatang. Cuma jika lukisan-lukisan katak itu diberi sentuhan warna, saya yakin ia akan lebih memikat perhatian kanak-kanak.
 Kelebihan puisi-puisi dalam buku ini pula terserlah daripada segi bentuk, bahasa, dan tema. Bentuk puisi yang dirangka tidak kompleks untuk ditutur oleh kanak-kanak. Sungguhpun puisinya singkat dan mudah, namun pengunaan unsur-unsur bahasa seperti rima, irama, dan metaforanya tetap indah manakala mesej yang cuba disampaikan melalui tema yang diketengahkan pula sesuai dengan peringkat umur kanak-kanak.

Buku puisi ini adalah antara buku puisi kanak-kanak yang terbaik. Bukan sahaja segar, bahkan puisinya juga mudah dideklamasi serta difahami kanak-kanak. Paling penting, Bijak Si Katak Bijak sarat dengan pengajaran. Di tengah-tengah masyarakat sedang berhadapan dengan arus pembangunan yang semakin memudarkan nilai-nilai budaya, kemunculan buku puisi ini adalah satu sumbangan sastera yang sangat menyuntik jati diri. Seharusnya ia menjadi bahan bacaan yang perlu dipilih dalam usaha mencanai jiwa dan minda kanak-kanak agar mencintai warisan budaya dan menjadi bangsa yang bijaksana.

Lebih daripada itu, saya berpendapat Bijak Si Katak Bijak bukan hanya sesuai untuk bacaan si kecil. Bijak Si Katak Bijak sebenarnya adalah untuk semua ummat manusia yang beriltizam menjadi bijak, lebih bijak daripada si katak

BUKU INI MEMENANGI HADIAH SASTERA PERDANA MALAYSIA
KATEGORI BUKU PUISI REMAJA 2012

SI PENCARI


"Pencari-pencari (Ilmu) banyak
tetapi mereka hampir semuanya
Pencari-pencari untuk kepentingan sendiri.
Aku dapat menemukan begitu
sedikit Pencari-pencari
Kebenaran "

Hakim Jami
1414-1492

Merekapun mengejar  cahaya gemilang
 itu tapi lupa dari manakah
 sumber Utama
Nur Bulan  
Kerdipam Bintang 
Jingga  Mentari
berkilauan. 

Kebenaran 
apakah
kau sarung
di jiwamu?

Susastera SZI
26 Feb 2016



Thursday, 25 February 2016

RUMAH WARIS UWAN


KAJIAN RUMAH KASIH UWAN 
OLEH DR ARIS ARIF MUNDAYAT




18 Mei 2013 > DIALOG PENULIS WANITA  anjuran SEBUDI DAN JEUMPO DE RAMO dengan kerjasama ITBM dan DBP
'SATU-SATUNYA sarjana  lelaki pada sesi bedah karya itu adalah Pensyarah Jabatan Pembangunan Sains Sosial, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang berasal dari Indonesia, Dr Aris Arif Mundayat.
Beliau yang membicarakan karya terbaru Dr Siti Zainon berjudul Rumah Waris Uwan melihat cara penulisan sasterawan wanita itu lebih bersifat empati, melindungi dan sarat jiwa keibuan.
"Pendekatan sejarah dan demografi dalam karya yang menyorot keindahan kampung halaman pengarang, Kampung Banda Dalam, Gombak yang diancam projek pembangunan digambarkan dengan sentuhan gaya bahasa puitis, malah mampu mengetuk pintu hati orang yang membacanya.
"Karya ini istimewa, judulnya saja yang menggunakan perkataan Uwan itu diambil daripada bahasa Minang yang membawa maksud nenek, malah tidak keterlaluan jika ia dikatakan sebagai ekspresi intelektual pengarang yang turut digabungkan dengan kritikannya yang menyentuh politik dan menginginkan pembelaan terhadap kampung berusia lebih 150 tahun itu," katanya.
Dr Aris menambah, beberapa puisi yang dimuatkan dalam Rumah Waris Uwan cukup bagi memberi penjelasan keadaan Kampung Banda Dalam dan kemelut yang dihadapi penduduknya yang enggan melihat perkampungan itu lenyap kerana pembangunan.
"Puisi Siti Zainon bertajuk Saksi Kejadian cukup bagi menceritakan perasaan kecewa, marah dan pembelaan terhadap kampong halaman yang menjadi warisan sejarah dan banyak meninggalkan kenangan terindah kepada penduduknya.
"Pada perenggan empat berbunyi 'seperti silap mata merubah segera, lorong ditarah, menjadi ular naga menjulur, lidah membaham, segala kehendakNya!' membayangkan keadaan kampong yang mula berubah apabila projek pembangunan dijalankan dengan ular naga adalah simbolik kepada lebuh raya yang dibina," katanya.'
(Petikan dari : ITIBM > Imformasi & Media, 19 Jun 2013)


Antara buku-buku kajian ilmiah dan kreatif Siti Zainon Ismail
terimaka kasih gambar di atas Kay

laporan  2.
PUISI KASIH BONDA-KAMPUNG PAYA KAMI (DBP 2010/2014)
Etnografi: Menulis seluas mungkin
OLEH RAJA YUSOFF ARIFFIN
Antara karya sastera yang sering dianggap sebagai tidak ilmiah ialah puisi.Selain kerana ruangnya terhad, tidak seperti cerpen, novel dan drama pentas; penyair terpaksa mendepani cabaran dan kesukaran memilih bahasa yang padat tetapi indah.Namun, Pensyarah dari Jabatan Sains Kemanusiaan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Aris Arif Mundayat, percaya ia boleh diubah melalui penghasilan etnografi.
Etnografi memberi peluang kepada penyair untuk menulis seluas dan sedalam mungkin. Karya tidak hanya bersifat puisi tetapi ada unsur puitika.Dr Aris berkata demikian ketika membentang kertas kerja dalam Wicara Buku: Kumpulan Puisi Kasih Bonda – Kampung Paya Kami (KB-KPK) di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini.
Majlis itu anjuran DBP Wilayah Tengah bersama-sama dengan Seniman Paksi Rakyat (Paksi).Turut menjadi ahli panel ialah Pe-ngarang KB-KPK, Prof Dr Siti Zainon Ismail, pensyarah di Jabatan Sejarah Seni dan Estetika, Universiti Malaysia Sabah. Presiden Paksi, Dinsman sebagai pemudah cara.Bagi Dr Aris, KB-KPK terbitan DBP pada 2008 dan diulang cetak pada 2014 bukan sekadar kumpulan puisi tetapi buku etnografi dalam bentuk puisi.
Ia aspek berkait rapat dengan prinsip ilmiah. Antara hujahnya ialah kampung yang mengalami perubahan akibat pembangunan terlukis dalam sketsa kumpulan puisi itu. Kebetulan pula, Dr Siti Zainon seorang pelukis.
Sketsa dalam KB-KPK menyentuh soal infrastruktur seperti rumah dan sekolah dan ada ikatan sosial dengan keagamaan (masjid).Ini mendorong Dr Aris melihat Dr Siti Zainon sebagai 50 peratus seorang karyawan dan 50 pe-ratus ilmuwan masyarakat.Antara kelebihan penulisan karya etnografi ialah pembaca boleh berdialog dengan karya dan proses itu diulang berlapis-lapis.Contoh, puisi Mari Belajar Kira-Kira menampilkan unsur perubahan seperti soal bahasa Melayu, etika berpakaian guru Melayu dan guru Inggeris.Dr Siti Zainon hanya memberi tanda dalam etika berpakaian. Bagaimanapun, beliau akhirnya me-nyerahkan kepada selera pembaca.Dalam puisi Surau Tinggi Kami pula, terdapat dua jenis pendidikan iaitu agama dan moden. Keadaan pelajar mempelajari Jawi dan isu pendidikan seks dalam masyarakat Melayu Islam juga dipaparkan.
Etnografi puisi statik tetapi menjelaskan begitu banyak konsep. Peraturan hidup manusia turut dipaparkan termasuk percintaan sebelum bernikah.Terdapat juga aspek sosio eskonomi dalam kampung yang ditampilkan menerusi puisi Hari Ibu Bapa. Anak-anak ditanya cita-cita mereka. Ada berharap anak mereka menjadi cendekiawan seperti profesor universiti.Dalam KB-KPK, Dr Siti Zainon juga banyak menceritakan sejarah kelahirannya dan pembukaan Kampung Banda Dalam yang diteroka sekitar 1860-an, lebih awal daripada kedatang-an Yap Ah Loy.




WITIR SELA MERAPI


KUMPULAN PUISI  
WITIR SELA MERAPI (Galeri Melora 2004)


PETIKAN   KAJIAN  A.RAHIM  ABDULLAH, TINJAUAN ROH DAN RETORIKA' DALAM PUISI SITI ZAINON ISMAIL.

        Kumpulan Witir Sela Merapi memuatkan 45 sajak yang terhasil di Jawa dihiasi gambar foto, gambar lakaran/sketsa dan bahagian akhir dinamakan " Foto Jejak Seni" . bahagian 1, puisi dinamakan   " Perawan Bulan Yogya" (Puisi Pilihan 1970-an) Bahagian 11, "Jenang borobudur" (Puisi pilihn 1980-1990an) dan bahagian 111, "Witir Sela Merapi: (puisi yang dihasilkan sekitar tahun 2000-2003)
         Karya pertama yang akan disentuh ialah puisinya yang bertama dalam buku ini, bertajuk "Karangwuni". Barangkali inilah karya pertama sesampainya Siti Zainon di kota budaya itu.  Puisi ini dihasilkan pada 18 Disember 1969, bersamaan hari lahir penyair yang ke 20 ketika itu. Berada di rumah atau di pemondokan seorang seniman yang sangat mempesonakannya (rumah Kartika, anak pelukis Affandi), disambut sapa keluarga/Kau bawa usia pertamaku/memasuki pintu luas... pasti meninggalkan kesan impresi pertama yang sangat dalam kepada Siti Zainon. Sentuhan awal atau semacam satu sumpah setia dalam dirinya, bahawa aku harus tumbuh sebagai seniman/pelukis besar juga suatu hari nanti. Diperturunkan sepenuhnya sajak  "Karangwuni" ini :

Inikah rumah saksi
disambut sapa keluarga
Kau bawa usia pertamaku
memasuki pintu luas
jendela ukir masih berjeriji
di perayaan hari jadi
terhidang uji
aku harus tumbuh
di sini!

     Pertanyaan retorik terjadi sebagai akibat impresif pertama seseorang: "Inikah rumah saksi" dan untuk menunggu jawapan itu , tentu sahaja memakan masa puluhan  tahun sebagai bukti keberadaan penyair sehingga kini . Jadi  pertanyaan itu boleh dilihat sebagai perhiasan gaya retorik yang tidak perlu pada jawapan, tetapi sekadar ekspresi seseorang yang tersentuh hati nuraninya. Tentj sahaja hari lahir seorang siswa negara Malaysia yang berada di rantau orang itu akan menjadi ingatan dan kesan yang sukar dihapuskan.
     Sajak ini memang boleh dianggap sebagai puisi kesaksian Siti Zainon untuk bangkit dan tumbuh menjadi penyair tersohor Malaysia, dan rantau Nusantara 20 tahun kemudian. Seperti dirancang dan memang sudah ditakdirkan, Siti Zainon rupa-rupanya terpanggil untuk menerima Anugerah SEA Write  di Bangkok pada tahun 1989, dalam usianya menjelanga 40 tahun.
      Penantian jawapan 20 tahun lalu terjawab juga pada 10 November 1989, apabila dia datang kembali ke Yogya. Sajak yang bertajuk " Yogya 89" (termuat dalam kumpulan Kau Nyalakan Lilin, 1990)dapat  menjawab, malahan menjelaskan lagi segala kenangan masa silam penyair selama berada di kota seniman dan budya itu.Penemuan kembali diri yang hilang? Penyair yang melukis dirinya di Pasar Sapi, binatang, haiwan, pohon dan alam sekitarnya yang hening dan terus utuh kembali menjelma. Semuanya pertanyaan retorik. Segalanya terjawab secara penuh berhemah menerusi paparan kalimat dan ungkapan seperti berikut:

Gapura yang dulu 
kukuh, putih abu-abu
beringin dicantas
berpucuk hijau muda
detak pedadi lenguh sapi
derap kuda malam
sungai diriku yang keruh dulu
kutemui lagi
berkerikil bersih
angin menyapu kebun debu
masih kuingat penyair lama
membentuk lukisan dirinya
kembali tampil
di pasar tersembunyi.

.....Pelajaran masa silam tentang budaya Jawa, seperti tarian tradisional dengan Pak Bagun Kusdiharjo, mengintai latihan teater Rendra dan bersama-sama kumpulan seniman para pelukis Yogya, akan kita temukan dalam jumlah puisinya yang relatif banyak itu. 
.....Nama Ranggawarsita dalam kalangan masyarakat Jawa bukan sesuatu yang asing kerana tokoh ini sudah menjadi legenda yang terus dicerita oleh pencipta seni budaya Jawa . Ini juga membenih dan tumbuh dalam diri Siti. Dia turut mengutip amanat Ranggawarsita, tetapi dengan gaya retorika yang lain, bahkan lebih mengesankan. Hal ini terdapat pada puisi " Sajak Anak Gunung"   yang dihasilkan pada 21 November 2003. Ada monolog dan dialog  :"aku" dengan "kau" terjadi dirakamkan penyair dlm resah pencararian- rasa kehilangan sesuatu yang amat dihargainya  pada masa lalu? Adakah semua ini terjadi kerana berlakunya fenomena? Kata,"merah mekar hangus/ditenggelami lahar/rumput hijau berbaur hitam/batu-batu menerjang ", membayangkan fenomena letusan gunung berapi atau gempa yang sering terjadi sekitar Yogyakarta....
      Gunung Merapi sangat dekat dengan hati nurari penayir , sepertipenduduk Yogyakarta sendiri ...(kesan letusan itu, Edit) ditulis penyair " dunia semakin edan/tapi anak gunung/setia menebar benih/antara permatang di lereng/di situ bercambah ilmu/melimpah restu'. ...'Siti yang terdidik dalam budaya Jawa dan latar budaya Indonesia yang luas itu memperlihatkan keragaman gaya bahasa kreatif serta mampu mencernakan pengalaman budaya sebagai hasil seni kreatif secara optimum.
.....Kesen intelektual dan moral terkumpul pada bait seperti berikut:

Aku datang bergerah lama: kebun jipang/kembang labu air/rengkek kuda dinihari 'ada yg nggender; entah pesinden mana; aku di lembanrnya/mengutip amanat Rangga/'dunia semakin edan'. yang menaru makam itu/suara jauh dari syurga.
     Berdasar teori Barthes mengenai odep;ogi dan konotasi serta kesan semiotk pragmatig berdasarkan pandangan de Saussure, maka dapatlah dikatakan bahawa daya kreativit Siti Zainon berjaya menghasilkan puisi dengan pemakaian sarana-retorik yang menjadi penanda kemandiriannya yang penuh kelembutan.
      Kod budaya itu pula menjadikan rujukan ilmu atau lembaga pengetahuan yang boleh dikongsi bersama pembaca. Rasa dan jiwa, serta kesan moral dan intelektual penyair itu juga mampu menjadi
konotasi makna yang bersandarkan kod budaya, sistem retorika Melayu dan budaya Jawa yang dialaminya. Dengan ini, kita wajar meletakkan Siti Zainon Ismail sebagai penyair wanita Malaysia terpenting untuk dekad 1980-an hinggi kini . 

***Esei asal berjudul " Roh dan Retorika dalam Puisi Siti Zainon Ismail"
(  Dewan Sastera, Disember 2011:37-31). Disampai ucapakan Terima Kasih
 kepada Tuan Haji Abd Rahim Abdullah  kerana kami menggunakan esei kajian ilmiah ini
sebagai  rujukan para pelajar Retorik Penulisan semester 11 2015/2016***





Wednesday, 24 February 2016

HADIAH SASTERA PERDANAN MALAYSIA 2014

LAPORAN DAN SENARAI PEMENANG PUISI ECERAN



Sekretariat HSPM 2014 menerima sejumlah 2,181 buah puisi daripada pelbagai sumber 
media penyiaran sepanjang tahun 2014 yang lalu. Daripada jumlah itu, dilakukan dahulu penilaian di peringkat saringan, dan hasilnya sebanyak 126 buah karya dibawa ke mesyuarat penilaian akhir.

Panel menilai dengan teliti, dan mengambil kira segenap aspek yang perlu untuk memilih karya yang didapati berkualiti yang bererti mempunyai muatan :
1.  Subjek yang baharu, segar serta digarap dengan menggunakan medium bahasa yang         juga segar dan kaya estetik,
2. Dapat mengangkat pemikiran kepada khalayak. Karya sewajarnya boleh membuka       minda khalayak pembaca juga,
3.Dapat mempertingkatkan kefahaman kepada kehidupan dan kemanusiaan, 
4.Tidak terkecuali mendekatkan diri mereka kepada Tuhan Pencipta Sekalian Alam. 
5.Karya seharusnya juga dapat menjadi penanda aras yang baharu kepada bidang penulisan puisi di negara kita.

Setelah menilai dengan penuh saksama, sebanyak 33 buah puisi disenaraipendekkan untuk dibawa ke peringkat akhir. Hasilnya, 10 karya yang berikut ini diperakukan sebagai layak diberikan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014, iaitu:

1.         “Di Padang Sarjana”, Tuah SujanaMingguan Malaysia, 5 Januari 2014.
2.         “Kalaulah Papa Memukulmu, Adib”, Rahimidin ZahariMingguan Malaysia
             23  Februari 2014.
3.         “Kepada Perempuan Laut”, Siti Zainon IsmailDewan Sastera, Jun 2014.
4.         “Rezeki Bumi”, Siti Zainon IsmailDewan Sastera, Jun, 2014.
5.         “Perkebunan Budaya Melayu”, Basri Abdillah, Dewan Budaya, Julai 2014.
6.         “Membaca Aksara”, Muhammad Haji SallehDewan Masyarakat, Julai 2014.
7.         “Tigris”, Rosli K. Matari, Jendela Timur, Ogos 2014.
8.         “Dari Mimbar Shinjuku”, Syafiq Zulakifli, Mingguan Malaysia
              30 November 2014.
9.        “Al-Kisah, di Negara yang Memansuhkan Bahasa”, Muhammad Haji Salleh,         ‘                  Nyala Api dalam Dada’, terbitan ITBM, 2014.
10.        “Mencari Jernih”, Shapiai Mohammad Ramly, antologi ‘Cerita Alam Gelora 
               Hujung     Benua’, DBP Wilayah Selatan, 2014




                                        Teringat  Si Perempuan Laut
                                         bercerita tentang puisi Nyanyian
                                        Angsa W.S Rendra
                                        Terima kasih Nur Al Kindi di Laut Batam 
                                         2000










PANDANGAN PENGKAJI DR SILFIA HANANI

Ketradisionalan dan Kemodenan
Tentang Nilai tradisional sebagai warisan dihuraikan oleh penulis: 


'...Apabila menterjemahkan ketradisionalan hal itu bukan bermakna semua bermaksud kemunduran dan tidak mengikuti alur kemajuan tetapi ketradisionalan itu ialah penjagaan nilai asal yang sangat kuat dan kukuh. Penjagaan nilai terkait dengan budaya, agama, tradisi yang dianuti.

Dalam konteks ini, ketradisionalan yang dimaksudkan dalam karya Siti Zainon ialah kemampuan beliau nembangunkan nilai tradisonal dalam karyanya. Itulah nilai keMelayuan .Kemodenan itu pun tidak selamanya dianggap kemajuan, namun kemodenan perlu dimaknakan secara positif. Moden merupakan hala yang membawa perubahan yang daripada satu dimensi menjelaskan keadaan manusia yang harus berubah tanpa meninggalkan , nilai, norma dan kemanusiaan. Dalam hal ini, karya harus menjadi agen kritik sosial kerana perubahan tidak seimbang dan sebagainya. Kekuatan karya sebagai kritik sosial juga ada dalam karya beliau.

Karya yang bercerita tentang aalam telah berubah seperti juga cerita dalam "Kampung Paya Kami" yang memuatkan kritik sosial ayng bernada sangat halus. Lihat sajak yang berjudul " Rangka Daun".

Rangka Daun  

Rumput hangus dipadang kontang
tanah rata sisi runtuhan gunung dipancung
meranti, jati, medang begelimpangan
bakau   rebah di bagan
mata air kehilangan alur
sebelum hujan ribut taufan
kalau berih mata tompokan awan
semakin rawan
lelahnya menyedut limpahan
minyak berkelopak hanyir darah
sisa membarah.

Jangan kau tanyakan perancang kota
mereka cipta keindahan silap mata
jambatann bertingkat berekor ular sawa
melingkari kampung lama
akan menelan apa saja
sejarah dibaham rakus nikmatnya
perabung dan dinding sumpik hilang sekelip mata
berganti tiang Yunani balkon Bellini
ghairah birokrasi
anjung dan serambi hilang hati nurari.

Begitulah
bahasa daunku bagai hilangnya zikir para Imam
azan bersimpang siur di kota durja
hingga solat juga sibuk memilih
seni bina mewah besar dan cantik
selesai berjemaah kembali sepi tidak dikunjungi.
Lidah ini pun tersesat terseleliuh
suara bertandak pecah bicara
bahasa halus fikiran tinggi itu bagaimana?
Itukah suara berceloteh genit
lancar, lincah bahasa makanan segera
seenaknya rajak cendol mamak
......


......
(Deklamasi oleh Siti Zainon Ismail sempena
Malam Jubli Emas DBP, 23 Mac 2006)

Dalam Dewan Sastera Disember 2011: 36





PUISI PUTIH SANG KEKASIH

Setelah terbitan pertama 1984
hampir dilupakan juga judul ini
Alhamdulillah akhir tahun 2015
baru Ketua Editor  Penerbitan UKM
menghubungi
diminta menyediakan 
lakaran warna warni.
Sungguh hampir dilupakan 
buku ini, tetapi 
'bagai gugusan embun dan kabus
yang tergetar di bukit
yang terhampar di padang
yang ditemukan
pemberian-Mu itu'

Alhamdulillah

24.2.2016

SELENGKUNG CAHAYA


Bismillahirahmanirahim

Alif bermula
kuulang kembali
setelah diam
berkali kau jemputut jua
ya aku tiba
Alhamdulillah