Sunday, 13 March 2016

BERSAMA TIGA ORANG PENULIS

rencana utusanonline


ARKIB : 29/09/1998

Sanjungan kepada dunia wanita

Judul buku: Zel, Lading Masih Ditangan dan Kampung Paya Kami
Pengarang: Mawar Shafei, Nisah Haron dan Siti Zainon Ismail
Terbitan: Galeri Melora
Harga: RM20 satu set (RM7 sebuah)
Pengulas: SITI ROHAYAH ATTAN
MINI antologi cerpen perseorangan masih belum popular di negara kita. Sebaliknya, kita lebih didedahkan dengan antologi perseorangan biasanya mengandungi sekurang-kurangnya enam cerpen.
Ia mungkin dikaitkan dengan soal pemasaran apatah lagi sekiranya penulis yang menghasilkan karya tersebut masih belum dikenali ramai.
Bagaimanapun, Galeri Melora yang dikendalikan oleh pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Siti Zainon Ismail yang memperkenalkan konsep mini antologi cerpen ini sesuatu yang amat membanggakan. Ia memberi peluang kepada khalayak membaca secara mudah kerana bersaiz kecil dan jumlah karya minimum.
Sebagai langkah awal tiga mini antologi dihasilkan yang memberikan penumpuan dan sanjungan kepada dunia wanita.
Ini selaras dengan kehendak ketiga-tiga penulisnya yang terdiri daripada wanita.
Zel, Lading Masih Di Tangan dan Kampung Paya Kami sebenarnya menjadi 'peninjau' kepada wanita melihat persekitaran mereka.
Menariknya, antologi ini digabungkan daripada beberapa karya yang pernah tersiar di beberapa penerbitan, malah memenangi beberapa pertandingan.
Kelahiran antologi kecil ini amat bermakna kerana ia merupakan kesinambungan 'kemenangan' wanita yang tidak dimatikan hanya sekadar pertandingan.
Antologi mini Zel dihasilkan oleh pensyarah muda dari UKM, Mawar Shafei yang mengandungi cerpen Zel dan Untaian Rafik. Kedua-duanya pernah disiarkan dalam Mingguan Malaysia yang mana Zel memenangi Hadiah Sastera Utusan Public Bank kategori cerpen bagi tahun lalu manakala Untaian Rafik hadiah yang sama pada 1995. Sebuah lagi cerpen ialah Niskala Fragaria yang pernah disiarkan dalam Dewan Budaya, September 1995.
Cerpen yang termuat dalam antologi ini mengangkat protagonis wanita yang begitu fasih meraut kasih sayang antara makhluk. Keampuhan makna diri yang sebenar dibaur lancar walau kerap berhadapan dengan pelbagai kekangan dalam bidang kerjaya yang mencabar.
Namun, Zel, kiranya dapat mewajarkan makna diri manusia wanita kontemporari dalam mandala seni, ekologi, ekonomi serta geografi.
Lading Masih Di Tangan dihasilkan pula bakal peguam muda, Nisah Haron, juga bekas pelajar UKM. Dua lagi karyanya ialah Persidangan Agung Wanita Klasik tersiar dalam Dewan Sastera, November 1997 menang Hadiah Esso Gapena tahun tersebut dan Istimewa dari Cenma Detara, Aspirasi UKM 1995.
Nisah melihat dunia yang kadang-kadang di luar jangkauan; menidakkan watak sejarah seperti Mahsuri, Dang Anum dan Puteri Lindungan Bulan yang diajak berdiskusi dalam satu pertemuan yang diciptakan oleh pengarangnya. Begitu juga konflik dua bangsa Cosmo dan Cenma Detara yang dilihat dari aspek kemanusiaan dan perundangan.
Siti Zainon melalui Kampung Paya Kami mengetengahkan dua lagi cerpen iaitu Jurai Palma dan Daun Maple Akhir. Kampung Paya Kami memenangi Hadiah Ketiga Cerpen Maybank-DBP 1994/95 manakala Jurai Palma menang hadiah saguhati pertandingan yang sama tahun berikutnya.
Seperti karya-karyanya yang lain Siti Zainon gemar mempaparkan sejarah dan budaya Melayu.
******

Ulasan cerpen Daun Maple  Akhir:  oleh AMIDA ABDUL HAMID

dalam  Antologi TITAH PADUKA SERI, DBP  2015:

'  ...dengan aplikasi majazi yang kukuh, cerpen "Daun Maple Akhir" mengilustrasikan kepasrahan wanita kepada nasibnya. Sesi prktis tembika melatih sekumpulan wanita, yang berjumpa di Box Hills Arts Centre, mencanai dan membentuk tanah liat menjadi objek seni seperti mangkok, cawang, piring, bejana dan tempayan. Aktivi seni membentuk tanah liat dalam cerpen ini merupakan metafora kehidupan yang relevan dan meninggalkan tmpak yang signifikan. Sebagaimana tanah liat itu boleh diuli, dicanai dan dibentuk menjadi apa jua bentuk yang diingin, maka begitulah pua kiasannya dengan kehidupan sekumpulan wanita ini. Dalam uisa mereka yang matang, berkerjaya dan sudah berumaha tangga, mereka teku mencari runag utk pengisian minda dan jiwa yang pribadi. Muatan waktu senggang demikian menyumbang kepada pola kesumpurnaan dalam kehidupan mereka 

( Amida Abdul Hamid, 2015 :xxv-xxvi)



Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0929&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_05.htm#ixzz42lbg1kkQ 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment