Sunday, 13 March 2016

HADIAH SASTERA PERDANA MALAYSIA CERPEN 1996/1997, 2002/2003

dalam negeri


ARKIB : 11/11/1998

40 menang Hadiah Sastera -1996/1997

KUALA LUMPUR 10 Nov. - A. Samad Said, Suhaimi Muhammad, Zurina Hassan dan Shahnon Ahmad adalah antara 40 sasterawan yang diumumkan sebagai pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 1996/1997 dalam pelbagai kategori.
A. Samad, Sasterawan Negara, muncul pemenang Kumpulan Drama, Kategori A: Buku/Kumpulan Perseorangan menerusi karya bertajuk Lantai T. Pinkie yang diterbitkan pada 1996.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) A. Aziz Deraman berkata, dengan kemenangan itu beliau memperolehi hadiah wang tunai sebanyak RM10,000.
''Pada kali ini DBP selaku penganjur HSPM telah memperuntukkan hadiah wang tunai berjumlah 133,000 untuk diagihkan kepada para pemenang bagi tiga kategori utama,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Kumpulan Puisi dimenangi oleh T. Alias Talib dengan antologi berjudul Petang Condong, dan Kumpulan Novel dimenangi oleh Azman Nordin, dengan karya berjudul Menongkah Lumrah.
Kumpulan Cerpen dimenangi Abdullah Tahir (Sang Tahanan) dan Buku Kajian Sastera dimenangi oleh Umar Junus (Teori Moden Sastera dan Permasalahan Sastera Melayu).
Mereka juga akan menerima hadiah wang tunai RM10,000 setiap seorang.
Aziz berkata, majlis penyampaian hadiah akan diadakan pada 27 November ini yang akan dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bagi Kategori B: Karya Eceran, sebanyak 21 orang orang terpilih dan setiap orang akan menerima wang tunai RM1,000.'
Menurutnya, antara pemenang tersebut ialah Suhaimi Muhammad menerusi puisi Kubu Kenangan Petang Itu, Zurina Hassan (Kuali Hitam), Kemala (Jakarta, Ogos 1996) dan A.Rahim Abdullah (Cinta Nusantara).
Katanya, sebanyak 10 orang terpilih memenangi Bahagian Cerpen Eceran antaranya Zakaria Ali cerpen bertajuk Gajah Putih dalam Mingguan Malaysia, Mawar Shafie Zel dalam Mingguan Malaysia dan Siti Zainon Ismail Jurai Palma dalam Dewan Sastera.
Tambah Aziz, Bahagian Drama Eceran telah dimenangi oleh Faisal Tehrani menerusi Rintih Chicago diterbitkan dalam Dewan Sastera.
Beliau berkata, Bahagian Esei/Kritikan Eceran sebanyak 10 orang terpilih antaranya Hizairi Othman, Jelani Harun, A. Rahim Abdullah, Fatimah Ali dan Siti Aisah Murad.
Bagi Kategori C: Buku Remaja dan Kanak-Kanak, sebanyak empat orang terpilih iaitu Gunaan Mahmood, Shahriza Abdul Rahman, Ismail Restu dan Ghazali Azia dan setiap seorang memperolehi wang tunai RM5,000.


Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_05.htm#ixzz42rNZnIbs 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

sastera


ARKIB : 13/12/2004

Sastera Perdana - Pasang surut sastera Melayu 2002/03

TAKWIM sastera Melayu mencapai kemuncaknya apabila pihak penganjur, Dewan Bahasa dan Pustaka mengumumkan para pemenang Hadiah Sastera Perdana 2002/3 dengan pelbagai warna kepada sastera mutakhir.
Kemenangan beberapa karya membuktikan bahawa dunia sastera masih tidak tandus karya-karya yang bermutu dan mengesahkan tahap pencapaian penulis terbabit.
Namun agak mendukacitkan tidak kelihatan nama-nama baru dalam barisan penerima, kecuali nama-nama lama yang muncul kembali dalam panca warna sastera.
Di sebalik kerancakan penghasilan sesetengah genre sastera, terdapat pula genre yang berdepan dengan situasi kritikal.
Situasi kritikal itu tidak disebabkan oleh tiadanya pemenang, tetapi diburukkan lagi dengan kekurangan pencalonan bagi sesetengah kategori.
Malah pencalonan sesetengah karya untuk kategori terbabit seolah-olah tidak mampu mengisi lowongan yang tersedia.
Kekosongan tersebut menunjukkan bahawa bidang penulisan di negara ini mempunyai ruang untuk para penulisnya meneroka serta berkarya.
Demikian juga kemampuan penulis muda untuk mengisi tempat ruang pelbagai kategori selepas generasi penulis mapan seolah-olah meninggalkan tanda tanya mengenai masa depan sastera Melayu.
Laporan panel yang menyebut bahawa kebanyakan 77 buah karya untuk kategori novel menunjukkan penguasaan kuantiti para penulis muda, namun mutunya masih tidak menjanjikan sesuatu di sebalik bakat besar yang dimiliki.
``Novel penulis muda mempunyai kekuatan penulisan dari sudut kuantiti, tetapi belum cukup mantap dari segi kualiti, tema, perwatakan, latar dan teknik penulisan.
``Kebanyakan novel-novel tersebut membicarakan hal-hal kehidupan anak-anak remaja yang dipenuhi dengan persoalan-persoalan cinta, rindu, cemburu, cinta tiga segi, kekeluargaan dan sebagainya,'' jelas laporan itu.
Laporan itu menambah, pengarang muda memperlihatkan bakat yang besar dan menjanjikan satu fenomena kegemaran membaca untuk generasi akan datang.
Kejayaan Sasterawan Negara, Prof. Emeritus Datuk Shahnon Ahmad memenangi Kategori Buku/Kumpulan Karya Perseorangan dengan hadiah wang tunai RM10,000 melalui novel Lamunan Puitis: Sebuah Trilogi memberikan warna-warni menarik kepada sastera Melayu dengan hidangan karya yang mantap.
Penulis muda berbakat dari Pahang, Sahrunizam Abdul Talib memecahkan tembok penguasaan penulis mapan dan ternama dengan Kumpulan Puisi, Bahasa Senjata.
Secara keseluruhan dominasi penulis mapan dalam Hadiah Sastera Perdana kali ini cukup ketara dalam semua kategori.
Malah ketiadaan generasi pelapis untuk menghasilkan tulisan seperti Kumpulan Esei/Kritikan, Buku Kajian, Biografi dan Drama seharusnya diberi perhatian serius.
Ia juga merupakan cabaran kepada ahli akademik muda yang sepatutnya menggalas tugas untuk sama-sama mengangkat tradisi kritikan sastera yang berwibawa dan jitu.
Lebih menyedihkan kelompok generasi muda dalam seni pentas tanah air yang sering menghasilkan skrip dan mengarah teater seolah-olah barisan yang hampas.
Senarai Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2002/3

B. Cerpen
1. Tahun Depan di Jerusalem (Azman Hussin)
2. Tanggar Amanat (Amaruszati Noor Rahim)
3. Monolog (Dahiri Saini)
4. Alkisah Ahmad Pualam (Zainal Rashid Ahmad)
5. Menanam Pokok Jati (Siti Zainon Ismail)
6. Balada Si Angsa Hitam (Noordin Hassan)
7. Perjuangan (Md. Noor Salleh
8. Si Penggaru Kalbu (Syed Mohd. Zakir Syed Othman)
9. Surat Sastera Dari Malino (Muhammad Abdul Biang)
10. Cik Siti Mustika (Faisal Tehrani_
11. Satu Episod di Kriankrai (Hashim Latiff)
12. Putera Tanpa Bumi (Zurinah Hassan)
13. Petani Tua Dari Karbala (Aminah Mokhtar).


Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sastera&pg=sa_01.htm#ixzz42rqDD2aa 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sastera&pg=sa_01.htm#ixzz42rpTuPM9 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment