Sunday, 13 March 2016













PAMERAN seni Bersama di Sasana Kijang, Kuala Lumpur yang dilancarkan baru-baru ini memberi memori peribadi kepada Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.
Walaupun terdapat deretan lukisan daripada 11 pelukis dari Malaysia dan Indonesia, salah satu karya hasil cetusan Basoeki Abdullah membawa seribu makna kepada personaliti wanita berkenaan.
“Lukisan Tiga Dara oleh Basoeki menggunakan Allahyarhamah bonda saya, Azah Aziz sebagai model inspirasinya,” ujarnya ketika melancarkan pameran yang berlangsung sehingga 5 Januari 2014.
Dalam lukisan berkenaan, budayawan itu memakai busana Melayu berkain songket merah diapit oleh dua wanita memakai baju tradisional ceongsam dan sari.
Difahamkan, Basoeki mengambil Azah sebagai model memandangkan pelukis prolifik itu merupakan sahabat baik suaminya, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz. Malah, kedua-dua tokoh negara tersebut juga amat meminati hasil lukisan Basoeki.
Hiasi istana
Mengimbas perjalanan lukisan itu ke Malaysia, Zeti berkata, kerjasama erat antara BNM dan Bank Indonesia membuka ruang kepada penggemar seni tempatan untuk melihat sendiri lukisan agung Basoeki itu.
Lukisan Tiga Dara memperlihatkan kejelitaan wanita daripada kaum berbeza iaitu Melayu, Cina dan India yang dihasilkan Basoeki ketika berada di Singapura pada tahun 1955.

Ironinya, Azah tidak pernah melihat lukisan itu selama hampir 42 tahun sehingga pada tahun 2010, dengan bantuan Bank Indonesia, beliau dibawa ke Istana Kepresidenan yang terletak Bogor, Jawa Barat. Lukisan Tiga Dara ditempatkan di sana selepas Basoeki memberikannya kepada bekas Presiden Indonesia, Sukarno.
Dilahirkan di Sukarta, Indonesia, Basoeki merupakan pelukis yang terkenal dengan aliran realis dan naturalis. Karya-karyanya menghiasi istana-istana negara dan kediaman presiden-presiden Indonesia. Pernah memenangi beberapa anugerah di peringkat antarabangsa, pelukis tersohor Indonesia itu meninggal dunia pada usia 78 tahun.
Selain Basoeki, lukisan rakan seperjuangannya, Affandi turut dipamerkan di galeri dan muzium seni Bank Negara. Petarung Sejati oleh Affandi menghiasi ruang dewan bersama pelukis-pelukis lain seperti Chairil Anwar, Ahmad Fuad Osman, Siti Zainon Ismail dan Kartika Affandi.
Pameran Bersama itu dipecahkan kepada tiga tema iaitu hubungan, arus penukaran terkini dan laluan moden.
Menurut kurator galeri, Siti Melur Sakdudin, pameran yang memasuki siri kedua ini memberi tumpuan kepada karya-karya dari dua buah negara jiran.
“Kami mengambil masa setahun lebih untuk mengumpulkan lukisan-lukisan yang menepati tema. Tempoh masa itu merangkumi pencarian karya-karya spesifik seperti Tiga Dara selain memohon kebenaran mempamerkan lukisan-lukisan milik pengumpul seni persendirian dan syarikat korporat,” ujarnya ketika ditemui usai majlis pelancaran pameran tersebut.
Siti Melur memaklumkan, objektif penganjuran pameran adalah untuk menonjolkan kekayaan seni dan budaya antara negara Nusantara kepada peminat seni di Malaysia. Selain itu, ia bertujuan memperkukuhkan jalinan hubungan kedua-dua negara dalam lapangan seni lukisan.
Pelukis Kartika Affandi berkata, usaha yang dilakukan oleh BNM patut diteruskan bagi terus memacu pertumbuhan industri seni Nusantara.
“Saya melihat pameran ini sebagai satu usaha yang positif. Diundang untuk menghadiri pameran ini adalah satu penghormatan kepada saya.
“Semoga ia dapat diteruskan kepada generasi baharu pelukis-pelukis Indonesia,” ujarnya.



Hakcipta terpelihara 

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1225&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_02.htm#ixzz42tdrvKFe 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment